Najiy Jefri


NEELOFA enggan mengambil tahu mengenai dakwaan kononnya dia menjadi orang ketiga susulan isu tular membabitkan Pencetus Ummah (PU) Riz dan seorang wanita, baru-baru ini.

Neelofa ketika ditemui berkata, dia enggan mengambil pusing mengenai perkara itu dan lebih selesa tidak berkongsi hal peribadi membabitkan dirinya.

"Saya tak tahu dan tak ambil kisah. Seboleh-bolehnya saya tak mahu tambah kebimbangan mengenai hal itu. Saya pilih untuk kunci diri daripada benda-benda tak patut dan tak ada apa yang boleh saya komen.

"Mengenai hal peribadi saya juga tak mahu bercerita banyak kerana bimbang ia boleh makan diri. Tak perlu buka aib sendiri, begitu juga orang di luar sana. Anda ada media sosial jadi lebih baik jangan terlalu dedahkan hal peribadi.

"Ini bukan benda baharu dan saya ada terdengar orang mengaitkan saya dengan seseorang sebelum ini tapi saya tak ambil kisah," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran butik terbaharu Naelofar di pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya.

Terdahulu, bekas kekasih PU Riz iaitu Amal Syahmina tampil memuat naik kenyataan selepas menerima pelbagai kecaman susulan tindakannya mempertikaikan seorang selebriti yang digosipkan dengan pendakwah muda itu.

Tidak semena-mena nama Neelofa dikaitkan netizen walaupun status yang ditulis gadis berkenaan tidak menyebut nama mana-mana pihak.

Neelofa berkata, dia enggan terlalu terbuka bercerita mengenai hubungan peribadinya dengan mana-mana individu.

Ini kerana hal membabitkan sesebuah perhubungan adalah perkara yang belum pasti, justeru itu dia memohon orang ramai mendoakan yang terbaik.

"Tunggulah sampai akad. Kalau nak kongsi sikit-sikit okay! Malah dalam Islam kalau bertunang pun tak digalak untuk dihebohkan apatah hubungan yang tak ada ikatan. Jadi hormati keputusan saya untuk tidak terlalu berkongsi kehidupan peribadi," katanya.

Sebelum ini, hubungan Neelofa dan PU Riz dikatakan semakin rapat sejak Ramadan lalu apabila pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu sering menjadi imam solat tarawih dan menyampaikan tazkirah di kediaman Neelofa.

Kisah itu turut menjadi tular di Twitter sehingga menimbulkan spekulasi kononnya mereka mempunyai hubungan istimewa.

PU Riz turut menjelaskan hubungannya dengan Neelofa hanya atas dasar kerja semata-mata. Tidak ada soal hati atau perasaan antara mereka seperti yang digembar-gemburkan.

NEELOFA
NEELOFA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:07 PM