LAKONAN hebat Sharnaaz dan Elfaezah.
LAKONAN hebat Sharnaaz dan Elfaezah.
Sudirman Mohd Tahir

Astro Prima menerusi Slot Tiara mempersembahkan dua naskhah khas dari Singapura bertemakan cinta tulus penuh keinsafan iaitu Cinta Ramadan dan Danny setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

Menerusi paparan dua episod, inti pati mesej telefilem istimewa Cinta Ramadan mengangkat elemen keinsafan yang tidak kenal masa dan rupa.

Ia menampilkan pelakon Sharnaaz Ahmad selaku watak utama sebagai Ramadan atau Danny, Nurul Nabila sebagai Natrah dan Fir Rahman sebagai Rizal.

Drama Danny pula adalah sekuel kepada telefilem Cinta Ramadan yang menyaksikan perkembangan watak Danny dalam meniti kehidupan selepas berubah sekali gus membina hubungan cinta baharu. Sharnaaz masih lagi dikekalkan untuk membawa watak yang sama di samping pengenalan watak baharu yang dibintangi Elfaezah Ul Haq, Nadia M Din, Dayang Balqis, Taufiq Salleh, Junaidi Sali dan Sarah Aqilah.

Mengulas lanjut mengenai sajian terbaharu di slot Tiara, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, kandungan drama bermutu adalah antara kekuatan dan formula tarikan utama yang dipertaruhkan untuk memancing hati penonton.

SHARNAAZ melakonkan watak Danny.
SHARNAAZ melakonkan watak Danny.

"Setiap pilihan kandungan yang ditayangkan perlu bersandarkan kepada keunikan genre, plot, kaedah penyampaian dan garapan yang disulam sempurna untuk dekat dengan cita rasa seluruh lapisan masyarakat.

"Kekuatan dua naskhah sajian terbaharu di slot Tiara ini terletak pada persembahannya yang menyuntik tema kemanisan cinta tulus ikhlas dan sarat dengan mesej positif penuh keinsafan sebagai teladan. Secara ringkasnya, ia menceritakan mengenai kesinambungan liku kehidupan Ramadan atau Danny, seorang pendosa yang sudah berubah dan ingin membina hidup baharu," katanya.

Menurut Norzeha, kedua-dua naskhah itu mendapat sambutan baik sewaktu ditayangkan di Singapura.

"Bukan itu saja, lakonan dua teraju utama drama Danny iaitu Sharnaaz dan Elfaeza turut diiktiraf sewaktu acara Pesta Perdana 2015 menerusi anugerah Pelakon Terbaik dalam Watak Utama (Drama Bersiri) untuk kategori lelaki dan wanita, selain dicalonkan dalam lima lagi kategori termasuk Drama Bersiri Terbaik. Besar harapan kami agar penceritaan dalam kisah kali ini mampu mendapat perhatian penonton di Malaysia pula," katanya.

Telefilem Cinta Ramadan mengisahkan Danny, seorang pemuda yang berani dan seorang usahawan yang bijak, tetapi kehidupan serta kepercayaan hidupnya ditentang bapanya yang alim, Ismail.

NASKHAH yang mendapat sambutan baik penonton di Singapura.
NASKHAH yang mendapat sambutan baik penonton di Singapura.

Perbezaan pendapat antara mereka perlahan-lahan membawa kepada keputusan Danny untuk keluar dari rumah. Keputusan itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada ibunya.

Drama rantaian Danny pula mengisahkan mengenai perjalanan kehidupan Danny selepas pemergian Natrah.

Danny cuba untuk melupakan Natrah dengan melanjutkan pelajarannya sambil cuba memulakan perniagaan kecil.

Dalam usaha mengimbangi dua dunia itu, Danny jatuh hati pada Sarah, seorang usahawan muda yang bakal mengambil alih syarikat bapanya.

Sarah tidak tumpah seperti Natrah, setiap sisi dan perangainya mengingatkan Danny terhadap Natrah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:30 AM