BERKAT izin keluarga dan suami, tawaran lakonan sentiasa ada.  FOTO: Rohanis Shukri
BERKAT izin keluarga dan suami, tawaran lakonan sentiasa ada. FOTO: Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir

KEMUNCULAN pelakon hebat, Ummi Nazeera sentiasa dinanti baik di kaca TV mahu pun layar lebar.

Pembabitannya dalam drama Korban Kasih yang ditayangkan pada Ramadan lalu di RTM sekali lagi membuktikan kehebatannya dari segi lakonan.

Ia sekali gus mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menanti lakonannya dalam naskhah berat dan air mata.

Bagi Ummi yang juga pelakon filem Penanggal, di sebalik apa yang dilalui adalah berkat daripada keluarga dan keizinan suami tercinta, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani.

"Saya syukur dengan rezeki diberikan dalam bidang ini. Tapi, saya perasan juga apabila saya kembali aktif berlakon pada Ogos tahun lalu, alhamdulillah tawaran lakonan sentiasa ada. Mungkin berkat izin keluarga dan suami.

"Setiap projek saya terima, saya akan bincang dengan keluarga dulu. Sebab saya jenis 'family person' dan mungkin sebab itu

juga rezeki datang. Kalau suami tak izin, saya tak buat. Tapi, setakat ini dia izinkan, sebab itu saya buat.

"Selepas saya bersalin, saya ambil masa setahun berehat bagi memastikan anak sudah besar sedikit. Apabila dia tengok dan kasihankan saya yang rindukan berlakon sebab ia sebahagian saya, jadi dia izinkan. Asal saja saya tahu apa perlu dibuat dan sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun, Ummi berkata, masih banyak perkara yang perlu diberi pertimbangan semula apabila setiap kali mendapat tawaran.

BERUNTUNG sering berlakon dengan barisan pelakon hebat.  FOTO: Rohanis Shukri
BERUNTUNG sering berlakon dengan barisan pelakon hebat. FOTO: Rohanis Shukri

"Sebelum ini saya teringin nak berlakon dalam projek bawah VIU. Saya dapat tawaran itu, tapi penggambaran pula dijalankan di Johor selama dua bulan. Jadi, perkara seperti ini saya perlu beri pertimbangkan semula.

"Apatah lagi anak saya baharu dua tahun. Walaupun ada suami, emak dan emak mentua yang boleh tolong jagakan, tapi saya fikir tidak apa. Saya anggap ia bukan rezeki," katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Ummi juga beruntung apabila sering mendapat tawaran yang menggandingkan dirinya dengan barisan pelakon hebat.

Malah, sudah banyak syarikat produksi yang sedia berhabis dari segi pelakon bagi memastikan karya itu lebih menarik.

"Saya suka dan tak rasa berlakon pun apabila bergandingan dengan pelakon hebat lain. Tapi, kalau tengok sekarang banyak telefilem atau drama macam itu.

"Malah, sudah banyak juga cerita yang tak fokus pada watak utama saja. Watak pembantu juga kuat bagi menarik minat penonton. Memang kena macam ni sebenarnya," katanya.

Selepas terbabit dalam projek Cinta Yang Pulang arahan Bade Azmi, Ummi kembali berlakon dalam telefilem Kain Kapan Berbisik yang turut menampilkan pelakon seperti Hairul Azreen, Aida Khalida, Nafiez Zaidi dan ramai lagi.

Menerusi telefilem terbitan A Aida Productions itu, Ummi yang pertama kali digandingkan dengan Hairul sebagai pasangan kekasih, mengakui ia karya yang bagus.

"Saya jarang dapat karya romantik. Sejak sebelum bertudung lagi saya banyak dapat gandingan dengan perempuan. Tak ada sangat cerita kisah cinta.

"Tapi, dalam telefilem ini lebih 'loving' daripada Hairul. Jadi, ia sesuatu yang baharu dan menarik untuk saya. Tambahan pula, cerita dan skrip ini pun bagus. Bukan kisah cinta sangat, tapi ia komedi romantik. Pendek kata, ia bukan naskhah klise," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 6:00 AM