ANTARA babak dalam drama komedi Republic Of Gombak.
ANTARA babak dalam drama komedi Republic Of Gombak.
Najiy Jefri


IDEA lebih segar, jalan cerita yang menarik selain pemilihan pelakon berkaliber menjadi antara inti pati penting dalam menghasilkan sesebuah drama.

Bagi penerbit Mache AllStar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari, 35, mereka mementingkan beberapa aspek dalam penerbitan drama dan telefilem memandangkan itu adalah kunci untuk sesebuah karya dinikmati penonton.

"Untuk menghasilkan sesebuah naskhah bukan satu perkara yang mudah memandangkan kita perlu teliti daripada sudut pemilihan cerita, kru dan pelakon hingga proses suntingan akhir.

"Semua itu perlu berkait rapat dan perlu bekerjasama untuk men

ghasilkan sebuah produk yang bermutu. Kalau viral itu bonus buat semua," katanya.

EMMA dan Fikry bergandingan dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta yang kini menemui penonton di Astro Ria.
EMMA dan Fikry bergandingan dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta yang kini menemui penonton di Astro Ria.

Sempena Ramadan kali ini, dia gembira apabila tiga drama terbitannya iaitu Nusyuz Berkiblat Cinta, Mem & Bibik-Bibik dan Republic Of Gombak menjadi pilihan tiga stesen TV tempatan.

Teruja dengan maklum balas awal yang diterima, Norley Aimi gembira apabila semua pihak terbabit percaya kepada syarikat mereka untuk menerbitkan drama sempena Ramadan kali ini.

Bermula 3 April lalu, Nusyuz Berkiblat Cinta ditayangkan di Astro Ria, Mem & Bibik-Bibik pula di TV3, manakala Republic Of Gombak pula menghiasi slot TV9 mulai 14 April ini.

Norley Aimi berkata, dia bertuah kerana dapat menggunakan khidmat pelakon popular untuk semua produk di bawah kendaliannya.

"Apabila kita datang dengan naskhah yang baik, sudah tentu pelakon juga memainkan peranan yang penting. Kami bertuah kerana dapat menggunakan nama besar untuk semua drama.

"Bukan mudah untuk menyelia tiga penerbitan dalam satu masa. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana kebanyakan pelakon terikat dengan banyak komitmen lain," katanya

ROZITA Che Wan dan Adibah Noor dalam Mem & Bibik-Bibik.
ROZITA Che Wan dan Adibah Noor dalam Mem & Bibik-Bibik.

Nusyuz Berkiblat Cinta menggandingkan Emma Maembong dan Fikry Ibrahim sebagai teraju utama dalam naskhah mengenai kisah penderaan rumah tangga.

Mem & Bibik-Bibik pula menggandingkan pasangan suami isteri, Zain Saidin dan Rozita Che Wan mengemudi drama ini selain pelakon undangan seperti Nabila Razali, Iqram Dinzly, Adibah Nor, Bell Ngasri dan ramai lagi.

Drama komedi Republic Of Gombak pula mengisahkan perseteruan dua keluarga yang membabitkan pelakon seperti Farouk Husaain, Amyza Aznan, Azza Elite, Afieq Syazwan, Myra Natasha, Ayuni Rizal dan ramai lagi.

Norley Aimi berkata, dia beruntung kerana mendapat tunjuk ajar daripada suami yang terlebih dahulu 'terjun' dalam bidang ini.

Suaminya, Arisz Ab Rahman banyak menghasilkan drama antaranya Pujaan Hati Kanda, Lelaki Mu Yang Dulu dan Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis.

Mereka juga pernah mencetuskan fenomena dengan drama Korban Kasih dan Senduk Kuali Kak Lina Pompom yang ditayangkan di RTM dan mendapatkan respons baik daripada penonton.

 NORLEY Aimi
NORLEY Aimi

"Saya masuk dalam bidang ini secara tidak sengaja apabila suami mula beralih ke bidang pembinaan dan hartanah.

"Memang kekok pada peringkat awal, tapi dengan sokongan yang diberikan, saya mampu mengatasi dan menjalankan kerja produksi dengan bantuan suami dan kakitangan yang lain.

"Sekarang saya selesa menguruskan syarikat dan perlu bijak membahagikan masa untuk keluarga dan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 6:17 AM