Safura turut memuat naik gambar  keranda jenazah anaknya.
Safura turut memuat naik gambar keranda jenazah anaknya.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, ciuman terakhir mama buat Not. Wangi seharum kasturi. Semoga Allah tempatkan kamu anakku Noor Shafiela di dalam syurga Allah, amin".

Demikian perkongsian ringkas penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob, 48, memaklumkan berita duka pemergian anaknya, Noor Shafiela, semalam.

Dalam hantaran yang sama, Safura turut memuat naik gambar anaknya itu dan gambar keranda yang memuatkan jenazah anaknya itu di dalam van jenazah.

Hantaran itu kemudian membuatkan ramai turut sama bersedih dengan pemergian anaknya itu.

Bagaimanapun, Safura tidak berkongsi lanjut mengenai punca kematian anaknya itu.

Ruangan komen penyanyi yang dikenali dengan lagu Sedalam Mana Cintamu itu turut dipenuhi dengan ucapan takziah daripada pengikutnya dan rakan selebriti.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Safura bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Selain itu, Safura turut memiliki dua anak iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi hasil perkahwinan terdahulu.

Pada 1998 Safura berkahwin dengan anggota kumpulan Kool, Hairie Yaacob.

Safura kemudian bertemu jodoh dengan pelakon Sahronizam Noor pada 2005 dan dikurniakan empat anak iaitu Yusoff Firdaus, 12; Zara Nur Aisyah, 11; Ariana Sofia, 7; dan Nur Aisyah Mariam.

Bagaimanapun, Nur Aisyah meninggal dunia ketika berusia tiga tahun.

Safura.
Safura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:03 PM