SAHRONIZAM Noor dab Safura Yaacob.
SAHRONIZAM Noor dab Safura Yaacob.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Setiap kali Aidilfitri, pasangan selebriti 

Sahronizam Noor dan Safura Yaacob sukar menyembunyikan kerinduan terhadap anak sulungnya yang meninggal dunia di bulan mulia ini.

Sahronizam berkata, meskipun anaknya sudah lama pergi menghadap Ilahi namun mereka sekeluarga tetap meraikan lebaran dalam suasana yang sederhana.

"Arwah anak saya meninggal pada bulan Syawal, seingat saya pada Syawal ke-13. Dia sakit dalam bulan itu. Disebabkan itu setiap kali Syawal, kami hanya sambut secara sederhana.

"Sebab kami masih ingat pada tahun pemergiannya  iaitu 2011 adalah tahun kesedihan buat kami. Sembilan hari selepas anak saya meninggal dunia, bapa mertua saya pula meninggal dunia.

"Dalam masa sama, seorang lagi anak saya pula sakit, kerap kali keluar dan masuk hospital. Nak dijadikan cerita, Safura juga sedang mengandung. Anak dan bapa meninggal dunia, anak seorang lagi sakit dan isteri sedang mengandung, semua memori itu susah dilupakan," katanya.

Anaknya, Nur Aisyah Mariam meninggal dunia ketika berusia tiga tahun pada 2011.  

Menurut Sahronizam, berdasarkan laporan doktor anak sulungnya itu meninggal dunia akibat gejala radang paru-paru atau pneumonia.

"Disebabkan paru-parunya tidak menghasilkan oksigen. Dia mengalami demam kemudiannya ia memberi kesan pada paru-parunya.

"Kalau nak diikutkan, anak saya itu memang dekat dengan saya. Saya lahir pada 24 Ogos dan dia pula pada 23 Ogos. Jadi setiap tahun kami tidak sambut berlebihan, seperti tahun ini baju raya pun tidak dibeli," katanya. 

Selain itu, Sahronizam turut memiliki dua anak tiri iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi hasil perkahwinan Safura dengan anggota kumpulan Kool, Hairie Yaacob.

Sahronizam dan Safura kemudian bertemu jodoh pada 2005 dan dikurniakan empat anak iaitu Yusoff Firdaus, Zara Nur Aisyah, Ariana Sofia dan Nur Aisyah Mariam.

Sahronizam ditemui pada sidang media filem terbaharunya, JanGo di Colony @ KLCC, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sahronizam teruja dapat membintangi filem dwibahasa Melayu dan Cina yang pertama di Malaysia itu.

"Pada awalnya saya terpaksa tolak berlakon sebuah drama bersiri kerana bersangkutan dengan penggambaran filem ini. Saya sudah berikan jadual drama bersiri itu pada produksi JanGo, memang berselisihan.

"Jadi saya terpaksa tolak drama itu. Tapi tak disangka penggambaran filem ini juga ditangguh kepada 9 Mei depan. Tapi saya tetap memaklumkan pada produksi drama itu kerana industri kita kecil saja.

"Jadi mereka menawarkan kembali saya berlakon drama itu kerana belum ada pengganti. Alhamdullillah dua-dua saya dapat lakukan, drama Cinta Arjuna arahan Shuhaimi Lua dan juga JanGo," katanya. 

JanGo adalah ringkasan untuk Jangan Goyang, ialah produksi dengan usaha sama antara Zebra Studio Sdn Bhd dari Malaysia dan Times Multimedia

Innovation Ltd dari Hong Kong. 

Diketuai oleh Pengarah CL Hor, JanGo akan memulakan penggambaran di Selangor pada 9 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 12:58 PM