Safura Yaacob. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Safura Yaacob. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI dan pelakon, Safura Yaacob mengakui tidak menggunakan kelebihan dirinya sebagai artis bagi mencari jalan mudah mendapatkan gerai berniaga di Bazar Ramadan.

Sebaliknya, dia turut mengikut prosedur sama dilalui oleh peniaga lain apabila memohon tapak mengikut saluran yang betul.

“Saya pergi ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk buat cabutan seperti orang lain tanpa menggunakan orang tengah.

“Bayangkan seawal jam 5.30 pagi saya sudah menanti untuk buat cabutan. Jadi, sesiapa pun tidak boleh kata macam-macam.

“Saya ikut prosedur yang betul, tentulah buat mereka lebih hormat. Langsung tiada potong barisan atau ikut jalan belakang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Safura, sebelum ini amat banyak persepsi buruk mengenai artis yang berniaga, sedangkan dia sendiri keluar rumah awal pagi untuk buat cabutan, ambil suntikan, hadir ke kursus makanan dan mempunyai sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bukan banyak sangat permintaan dan syarat dikenakan dan ia bukanlah masalah besar buat saya untuk dipenuhi.

“Saya lihat masyarakat sekarang lebih terbuka. Bahkan mereka suka kerana tahu saya boleh buat dan masakan saya diterima dengan baik,” katanya.

Pelakon telefilem Parit Jawa ini memberitahu amat bersyukur berpeluang berniaga di Bazar Ramadan kerana dapat mencari pendapatan tambahan untuk keluarga.

“Saya perlu bekerja keras bantu suami kerana anak-anak semakin membesar dan perbelanjaan keluarga turut bertambah.

“Syukur saya sekali lagi dapat berniaga Nasi Arab buat tahun kedua di Bazar Ramadan Taman Seri Bayu, Ampang yang berdekatan dengan rumah.

“Saya dah cuba berniaga tahun lalu dan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan

"Alhamdulillah hari-hari jualan habis. Jadi, rugilah kalau saya tidak ambil peluang ini,” katanya.

Safura hanya bertanggungjawab memasak di dapur dan cuma sesekali berada di gerai. Sementara, urusan jualan dikendalikan anak-anak dan dibantu suaminya, Shahrolnizam Nor sekiranya tidak terbabit dengan penggambaran drama.

Safura mempunyai enam anak iaitu Nurul Natasha, 23, dan Mohd Daniel Khaqim, 18, daripada perkahwinan terdahulu serta Nuraisyah Mariam (meninggal dunia ketika berusia tiga tahun), Yusoff Firdaus, 9, Zara Nuraisyah, 6 dan Ariana Sofea, empat tahun setengah dari perkahwinan sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 5:52 PM