SAFURA Yaacob
SAFURA Yaacob
Ridzuan Abdul Rahman

  

PENYANYI dan pelakon, Safura Yaacob mungkin terpaksa melupakan niat mencari rezeki tambahan sepanjang bulan Ramadan ini kerana berdepan masalah sakit belakang.  

Safura, 46, sebelum ini setiap tahun berniaga nasi Arab yang mendapat sambutan hangat di bazar Ramadan Taman Seri Bayu, Ampang berdekatan rumahnya.  

“Saya cakap dengan anak-anak sama ada saya mampu buat kerana keadaan kesihatan yang kurang baik. Ada rezeki saya buat, jika tiada rezeki saya akur saja.  

“Pelanggan setia saya juga pasti akan bertanya dan saya susah nak beri jawapan serta jelaskan perkara sebenar kepada mereka. Agak sukar sebenarnya kerana saya memasak seorang diri, manakala anak-anak hanya tolong menyiapkan apa yang patut,” katanya.  

Menurut Safura, dia terpaksa berdiri dalam tempoh lama ketika memasak dan ia membawa kepada masalah sakit belakang yang dialaminya.  

“Pelanggan sangat ramai dan sayang memanglah sayang kerana orang suka. Apapun saya kena tengok pada keadaan. Jika sakit ini kritikal saya kena berehat sepenuhnya.  

“Tak dinafikan saya hilang pendapatan untuk perbelanjaan Aidilfitri jika membuat keputusan ini. Tapi ada juga beberapa tawaran berlakon untuk bulan Ramadan.  

“Biasanya saya jarang ambil tawaran berlakon pada bulan Ramadan dan fokus pada anak-anak. Apa mereka nak makan ketika berbuka dan sahur jika saya tak sediakan? Selalunya hanya suami yang berlakon pada bulan Ramadan,” katanya yang lebih mengutamakan kebajikan anak-anak berbanding wang ringgit.  

Selain sakit belakang, Safura juga berdepan masalah fibroid dalam rahim.  

“Perut saya akan sakit secara tiba-tiba dan tak boleh angkat benda berat. Saiz ketumbuhan besar juga iaitu 5.6 sentimeter. Saya sebenarnya ada sejarah berkenaan penyakit ini.  

“Tiga tahun berkahwin dan sebelum melahirkan Mariam, saya berdepan masalah ini dan melakukan pembedahan. Selepas pembedahan barulah saya melahirkan Mariam. Tak sangka ketumbuhan ini jadi semula. Doktor suruh lakukan pembedahan pada Ramadan tapi saya minta tangguh selepas Aidilfitri,” katanya.  

Safura berkata, sekiranya tidak berniaga di bazar Ramadan, dia akan mencari alternatif lain dengan memasarkan nasi Arab secara atas talian.  

Dalam pada itu, Safura gembira apabila pengurusan The Love @ MaTiC yang terletak di Jalan Ampang mengundangnya untuk menghiburkan pengunjung pada 26 Mei nanti.  

“Saya akan bergabung dengan Korie dan Azharina untuk persembahan yang berlangsung sebelum masuk waktu berbuka. Ini kali pertama menghiburkan peminat kerana seperti yang diberitahu tadi, saya suka berehat sepanjang Ramadan.  

“Bagaimanapun kerana fikir mungkin saya tak berniaga di bazar Ramadan tahun ini, saya kenalah juga cari wang belanja kerana anak-anak saya ramai,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:28 PM