SINGLE terbaharu Tanpa Simpati beri kepuasan buat Aiman.
SINGLE terbaharu Tanpa Simpati beri kepuasan buat Aiman.
Zaara Talita


SELEPAS populariti yang melonjakkan namanya menerusi lagu Permata Hati, Aiman Tino bakal tampil dengan single berjudul Tanpa Simpati dalam tempoh terdekat ini.

Aiman yang mengakui menyepi seketika dari bidang nyanyian meletakkan sepenuh harapan terhadap lagu ciptaan Ikhwan Fatanna berentak pop balada itu.

"Industri seni tempatan bakal kembali aktif tidak lama lagi. Apabila difikirkan lama juga sebenarnya saya tidak menyanyi," katanya.

Aiman berkata, pada 9 Oktober ini dia bakal menjalani penggambaran muzik video Tanpa Simpati.

"Sebenarnya lagu ini sudah lama dirakamkan. Saya cuma menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan. Semoga karya terbaharu saya ini diterima peminat.

"Bukan mudah untuk mendapat lagu seperti Permata Hati yang membuka ruang kepada saya dalam bidang seni. Sukar sebenarnya untuk menjangka apa yang penggemar muzik tempatan mahukan," katanya yang kini turut bergelar usahawan.

Ditanya sama ada industri seni tidak mampu lagi menampung kelangsungan hidupnya, Aiman berkata, itu bukan tujuan utama kenapa dia memilih untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

Mengakui turut terjejas dengan pandemik Covid-19, Aiman merancang untuk melebarkan sayap perniagaan char kuey teow dengan membuka cawangan gerai kecil seperti jenama tempatan, Ramly Burger.

Mula mengorak langkah sebagai usahawan dan ingin membuka empayar perniagaan makanan sebagai pelaburan masa depan, Aiman bakal memulakan ideanya itu bermula pertengahan bulan ini.

AIMAN mahu jadi usahawan berjaya.
AIMAN mahu jadi usahawan berjaya.

"Seorang rakan memberikan idea untuk saya membuka gerai kecil di tepi jalan seperti konsep Ramly Burger. Tidak perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membayar sewa dalam pusat beli-belah atau restoran, lebih mudah di tepi jalan saja.

"Bagi mengekalkan mutu dan rasa char kuey teow cara saya, pihak yang ingin berniaga itu perlu menggunakan cili boh dan kicap buatan saya. Keaslian dan rahsia itu ada pada dua bahan asas untuk membuat char kuey teow.

"Cawangan pertama bakal dibuka berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Jika semuanya dipermudahkan, pastinya saya ingin melebarkan sayap untuk membuka lebih banyak gerai lagi.

BAKAL jalani penggambaran muzik video Tanpa Simpati.
BAKAL jalani penggambaran muzik video Tanpa Simpati.

"Buat masa ini gerai saya hanya menjual char kuey teow dan asam pedas di mana pes dibuat oleh keluarga saya sendiri. Kedai di Kuala Kubu Bharu yang diusahakan keluarga juga sudah tutup. Kini mereka hanya membuka gerai depan rumah," katanya.

Dunia perniagaan bukan asing buat Aiman kerana keluarganya mengusahakan perniagaan kedai makan sejak dia kecil.

Aiman juga sudah biasa membantu orang tuanya di kedai makan berkenaan.

Aiman berkata, selain bidang seni, perniagaan menjadi salah satu cabang baharu untuknya mencari rezeki, sekali gus menambah pendapatan.

Menurutnya, semangatnya kini berkobar-kobar untuk membuka perniagaan char kuey teow yang juga resipi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:30 AM