CRAIG akan bersara dalam menjayakan watak Bond.
CRAIG akan bersara dalam menjayakan watak Bond.
Susunan Najiy Jefri

BINTANG Hollywood, Daniel Craig tidak bersetuju watak James Bond dijayakan oleh wanita.

Craig memberikan pendapatnya selepas timbul khabar angin mendakwa watak James Bond akan dibintangi wanita selepas dia membuat keputusan untuk bersara.

Malah, pelakon berusia 53 tahun itu turut memberikan pandangan peribadinya terhadap gosip mengatakan watak Bond diberikan kepada pelakon berkulit hitam.

Ini kerana, selama ini Bond selalu dijayakan pelakon berkulit putih.

"Jawapan saya sederhana saja iaitu sepatutnya ada tempat yang lebih baik untuk pelakon wanita dan pelakon berkulit hitam.

"Mengapa pelakon wanita perlu melakonkan watak Bond sedangkan ada watak lain yang sama hebat dengan Bond dan wajar dimainkan untuk wanita," katanya.

Mengakui akan bersara dalam menjayakan watak Bond kerana usianya yang sudah meningkat dan tidak lagi sesuai membawakan filem aksi itu, Craig berkata, filem Bond ke-25 iaitu No Time To Die akan menjadi filem terakhirnya untuk sekuel terbabit.

No Time To Die dijadual ditayangkan di pawagam pada 30 September ini.

Tarikh itu ditetapkan selepas beberapa kali ditunda akibat penularan Covid-19 yang melanda seluruh dunia sehingga memberi kesan kepada pawagam.

Sementara itu, penerbit, Barbara Broccoli meminta media dan peminat untuk berhenti membuat spekulasi mengenai siapa gerangan yang layak membawakan watak Bond selepas ini.

Menurut Broccoli, pengganti Craig akan diumumkan selepas filem No Time to Die dilancarkan.

"Filem Bond perlu dirancang semula dan disesuaikan dengan kehadiran pelakon baharu. Perubahan yang berlaku tetap membuatkan filem ini terus menarik perhatian meskipun pelakon utamanya 'bertukar tangan'," katanya

Broccoli juga mengakui watak Bond tidak seharusnya selalu dimainkan pelakon berkulit putih saja.

Sebelum ini, Idris Elba disebut sebagai salah seorang calon pelakon kulit hitam yang akan membawa watak Bond.

Selain Elba, beberapa nama besar lain turut menjadi perhatian sebagai pengganti Craig antaranya Rege-Jean Page, Tom Hardy, Richard Madden, Cillian Murphy, James Norton, Sam Heughan dan Jack Lowden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:20 AM