NAZRIEF Nazri.
NAZRIEF Nazri.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah Noah baik-baik saja, cuma dia lebih manja dan nak berkepit 24 jam dengan ibunya," kata pelakon Nazrief Nazri mengenai keadaan terkini bayinya yang berusia dua bulan yang positif Covid-19. Nazrief berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk dia membawa Noah ke hospital atau pusat kuarantin. "Setakat ini Noah tidak diberikan sebarang ubat, tapi kami cuba ikhtiar dengan merawatnya dengan sapukan minyak pati dan urutan badan.

"Setakat yang saya tahu kami tidak perlu membawa Noah ke hospital kerana dia hanya mengalami gejala ringan saja. Lagipun saya bimbang kalau bawa ke hospital keadaannya mungkin bertambah buruk sebab tak tahu persekitaran hospital atau pusat kuarantin itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nazrief, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah mengambil maklum mengenai keadaan anaknya.

"Setiap hari saya perlu mengemas kini keadaan kesihatan saya memandangkan nama Noah tiada dalam rekod kerana anak saya belum punya sijil kelahiran.

"Jadi mungkin KKM terpaksa menggunakan nama saya sebagai wakil, tapi saya kira lebih baik jika aplikasi itu dapat meletakkan nama anak saya supaya memudahkan urusan kemas kini.

"Ini kerana sekarang ini seolah-olah saya pula yang dijangkiti wabak Covid-19. Tapi saya tak nak mengeluh asalkan anak saya berada dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.

Terdahulu Nazrief bingung dan tidak mengetahui punca bayi lelakinya itu dijangkiti Covid-19, Selasa lalu.

Nazrief berkata, berita menyedihkan itu dimaklumkan pihak hospital selepas dia dan anak sulungnya itu, Noah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum proses berkhatan yang dijadualkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 5:46 PM