Nazrief Nazri dapat anak lelaki.
Nazrief Nazri dapat anak lelaki.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Sambutan Aidiladha pelakon Nazrief Nazri, 30, lebih bermakna apabila kini bergelar bapa selepas isterinya Aizatul Aqma, 27, selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 1.12 pagi, semalam.

Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri berkata, dia sangat bersyukur urusan kelahiran itu dipermudahkan apalagi di kala situasi pandemik masih merisaukan.

"Alhamdulillah isteri saya selamat bersalin secara normal pada pukul 1.12 pagi, hari Arafah (Isnin). Dia berada dalam dewan bersalin pun tak lama, kurang empat jam.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya saat melihat bayi kami dilahirkan. Tapi, memang rasa sangat luar biasa tak boleh nak ungkap. Macam tak percaya dah ada anak sendiri.

"Saya dapat teman isteri bersalin sebab sudah dapat suntikan vaksin serta jalani ujian calitan (Covid-19) dan keputusannya negatif. Saya tak gementar sangat tapi lebih kepada teruja," katanya.

Pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta itu juga turut bersyukur apabila bayinya dilahirkan sihat. Bagaimanapun, Nazrief belum sedia berkongsi nama anaknya.

"Syukur semuanya lancar. Saya melihat sendiri proses kelahiran itu dan memotong tali pusatnya. Saya juga sangat bersyukur bayi pun berada dalam keadaan sihat.

"Untuk nama pula, nama panggilan sudah ada tapi nama penuh belum kami tetapkan lagi. Sekarang saya nak fokus kepada proses isteri kembali kuat dan berpantang dulu," katanya.

Pada Februari lalu, Nazrief berkongsi berkongsi berita gembira dia bakal bergelar bapa apabila isterinya Aizatul hamil empat bulan selepas lebih setahun berkahwin.

 Nazrief dan Aizatul mendirikan rumah tangga pada 15 November 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 5:53 PM