STEPHEN Chow (kiri) dan Ukei.
STEPHEN Chow (kiri) dan Ukei.
Agensi

Hong Kong: Pelakon Stephen Chow, 59, bertindak menghantar surat guaman terhadap peserta Miss Hong Kong 2021, Ukei, 17, selepas kontroversi mereka dikatakan menjalin hubungan.

Menerusi surat guaman dihantar baru-baru ini itu, Stephen menuntut Ukei untuk memadam semua hantaran termasuk gambar percutian atas kapal layar yang dimuat naik di media sosial.

Turut dinyatakan adalah pelakon itu sebenarnya ada memberi amaran supaya Ukei dan semua yang berada di kapal berkenaan dilarang mengambil gambar.

Menurut laporan, mereka semua bersetuju dengan peraturan ditetapkan itu sehinggalah kontroversi hubungan mereka menjadi topik hangat.

Stephen percaya ada dalang tertentu sengaja membocorkan kisah percutian peribadi itu.

Berhubung amaran kepada Ukei, Stephen dikhabarkan bakal menyaman remaja terbabit sekiranya ingkar untuk memadam gambar yang dikongsinya di media sosial.

Bulan lalu, kontroversi membabitkan mereka tercetus selepas dilaporkan bercinta gara-gara percutian itu. Bagaimanapun, pembantu peribadi pelakon terbabit segera tampil menafikannya.

Menurut kenyataannya, terdapat ramai orang lain turut bersama mereka atas kapal berkenaan ketika itu. Dia turut memaklumkan Stephen dan Ukei tidak mengenali rapat di antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 4:32 PM