REEM dan Rawan mengharapkan suaka di negara ketiga. FOTO Agensi
REEM dan Rawan mengharapkan suaka di negara ketiga. FOTO Agensi
Agensi

HONG KONG: Dua beradik perempuan warga Arab Saudi ‘terperangkap’ di Hong Kong sejak September lalu selepas cuba melarikan diri ke Australia untuk mendapatkan suaka.

Dua gadis yang hanya menggunakan nama Reem, 20, dan Rawan, 18, itu melarikan diri ketika percutian keluarga ke Sri Lanka, beberapa bulan lalu, apabila menyelinap keluar dari bilik hotel ketika ibu bapa mereka tidur lalu menaiki pesawat dari Colombo ke Hong Kong dengan harapan meneruskan perjalanan ke Melbourne, Australia, lapor New York Times.

Bagaimanapun, apabila tiba di Hong Kong beberapa lelaki tidak dikenali, termasuk seorang didakwa mereka konsul besar Arab Saudi di bandar itu, menunggu mereka di lapangan terbang dan cuba memperdayakan mereka menaiki pesawat pulang ke Riyadh.

Pada masa sama, tiket penerbangan mereka ke Melbourne dibatalkan. Sejak itu, mereka hidup dalam ketakutan di Hong Kong dan berpindah penginapan 13 kali termasuk pernah tidur dalam bot, lapor AFP.

Dua beradik yang mengaku sudah murtad itu mengesyaki gerak-geri mereka dipantau bapa menggunakan aplikasi telefon bimbit Absher. Keadaan Reem dan Rawan lebih sukar selepas pasport mereka dibatalkan pada November lalu dan mereka bimbang diusir pulang ke Arab Saudi.

“Sama ada kami akan dibunuh untuk membersihkan nama keluarga atau dipaksa berkahwin dengan saudara-mara kami,” kata Reem.

Peguam mereka Michael Vidler berkata, pihak berkuasa Hong Kong membenarkan mereka terus berada di bandar itu sehingga 28 Februari ini, namun mungkin diusir selepas itu. Dua beradik itu kini mengharapkan suaka di negara ketiga.

Kisah mereka timbul hanya sebulan selepas seorang lagi wanita Arab Saudi, Rahaf Mohammed al-Qunun, 18, mendapat perhatian dunia susulan kisah dramatiknya melarikan diri daripada keluarga ke Bangkok sebelum mendapat suaka di Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:00 AM