SEO-joon sah bintangi filem Captain Marvel 2 : The Marvels.
SEO-joon sah bintangi filem Captain Marvel 2 : The Marvels.
Najiy Jefri


PADA Jun lalu, nama pelakon kacak Park Seo-joon menjadi bualan hangat apabila dilaporkan bakal membintangi sebuah filem terbitan Marvel Studios.

Terbaharu, khabar angin terbabit ternyata sahih apabila pihak pengurusan Seo-joon mengesahkan perkara itu.

Malah, bintang Itaewon Class itu turut dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam dan dikhabarkan menuju ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk menjalani penggambaran filem Captain Marvel 2 : The Marvels.

Tidak lama kemudian pihak pengurusan Awesome Entertainment mengesahkan artis naungannya itu sudah berlepas ke Los Angeles untuk menjalani penggambaran filem itu.

"Benar. Seo-joon sudah berangkat ke Los Angeles selepas disahkan membintangi sebuah filem Marvel Studios.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang terus setia dan menanti jawapan ini," katanya.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan, Awesome Entertainment tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai judul, watak dan tempoh Seo-joon akan berada di Los Angeles.

"Kami tidak dapat berkongsi butiran ini tapi kami akan umumkannya nanti. Apa yang kami harapkan adalah anda terus menyokong Seo-joon dan mendoakan supaya dia dapat menyelesaikan penggambaran itu dengan berjaya dan kembali dengan selamat," katanya.

SEO-joon dilihat meninggalkan Korea Selatan Jumaat lalu bagi menjalani penggambaran filem Captain Marvel 2 : The Marvels.
SEO-joon dilihat meninggalkan Korea Selatan Jumaat lalu bagi menjalani penggambaran filem Captain Marvel 2 : The Marvels.

Terdahulu, teka-teki peminat yang mahukan kepastian mengenai perkara terbabit seakan-akan terjawab apabila nama Seo-joon didapati tersenarai dalam barisan pelakon filem Captain Marvel 2: The Marvels.

Perkara berkenaan diketahui peminat selepas laman web IMDb mengeluarkan senarai pelakon yang akan membintangi naskhah berkenaan, termasuklah Brie Larson, Teyonah Paris, Iman Vellani dan Zawe Ashton.

Senarai berkenaan sekali gus menambahkan keyakinan peminat mengenai pengesahan pembabitan Seo-joon dalam filem itu yang dijadualkan menemui penonton pada November tahun depan.

Setakat ini, hanya dua orang pelakon dari Korea Selatan yang pernah membintangi filem terbitan Marvel Studios iaitu Claudia Kim dan Ma Dong-seok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:23 AM