PARK Seo Joon
PARK Seo Joon
Agensi

Seoul: Pelakon Park Seo Joon, 32, bakal membintangi filem The Marvels dan bergandingan dengan Brie Larson yang memegang watak Captain Marvel dalam karya adiwira kegilaan ramai itu.

Menurut laporan Star News, baru-baru ini Seo Joon juga baharu selesai menjalani penilaian dalaman serta perbincangan selepas mendapat tawaran menyertai The Marvels.

Pelakon terbabit dijangka bakal terbang ke Amerika Syarikat (AS) sekitar Julai nanti untuk memulakan penggambaran filem berkenaan. Ketika ini, dia masih sibuk menghabiskan penggambaran filem Concrete Utopia.

Bagaimanapun, agensi pengurusannya Awesome ENT enggan mengulas lanjut mengenai khabar gembira terbabit. Justeru, butiran termasuk watak bakal dilakonkan Seo Joon masih menjadi teka-teki.

Selain Larson, The Marvels juga akan dibintangi Teyonah Parris sebagai Monica Rambeau. Filem itu adalah sekuel kepada Captain Marvel yang pernah mendapat sambutan luar biasa sebelum ini.

Dikhabarkan, karakter Spectrum juga dijangka akan turut ditampilkan dalam sekuel terbabit.

The Marvels arahan Nia DaCosta itu dijadualkan akan ditayang pada 11 November, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 11:09 AM