PERSEMBAHAN live Iron Maiden tidak pernah mengecewakan peminat mereka.
PERSEMBAHAN live Iron Maiden tidak pernah mengecewakan peminat mereka.
Riadz Radzi


Menjadi peminat tegar Iron Maiden ketika ini pastinya cukup seronok.

Selepas mereka tampil dengan single terbaharu, The Writing On The Wall minggu lalu, beberapa hari selepas itu kumpulan heavy metal legenda itu mengumumkan akan tampil dengan album penuh berjudul Senjutsu.

Senjutsu yang mengandungi 10 lagu dan tampil dengan format cakera padat (CD) berkembar itu pasti membuatkan peminat Iron Maiden teruja untuk mendapatkannya apabila ia mula berada di pasaran pada 3 September ini.

Buktinya apabila video klip The Writing On The Wall dimuat naik di saluran YouTube rasmi Iron Maiden pada 16 Julai lalu, ia mencatat lebih dua juta tontonan dalam tempoh 24 jam.

Hari ini ia sudah mencatat hampir enam juta tontonan dan hampir 23,000 komen yang rata-ratanya memuji dan teruja dengan buah tangan terbaharu Iron Maiden itu.

Senjutsu yang juga album studio ke-17 Iron Maiden ini diterbitkan Kevin Shirley yang turut menerbitkan album The Book Of Souls pada 2015 dan Brave New World pada 2000.

Senjutsu yang mengambil inspirasi dari Jepun bermaksud taktik dan strategi dalam bahasa Jepun. Kulit album juga memaparkan maskot Iron Maiden, Eddie yang digambarkan sebagai pahlawan samurai.

Penyanyinya, Bruce Dickinson berkata, mereka cukup teruja dengan album ini.

"Kami merakamkannya pada awal 2019 ketika berehat dari konsert jelajah Legacy. Lagunya lebih variasi dan ada di antaranya agak panjang.

KULIT album Senjutsu memaparkan maskot Iron Maiden, Eddie sebagai pahlawan samurai.
KULIT album Senjutsu memaparkan maskot Iron Maiden, Eddie sebagai pahlawan samurai.

"Ada juga satu atau dua lagu yang agak berbeza berbanding lagu Iron Maiden yang biasa anda dengar. Saya rasa peminat kami akan terperanjat. Harapnya mereka akan suka," katanya.

Sepuluh lagu dalam album ini ialah Senjutsu, Stratego, The Writing On The Wall, Lost In A Lost World, Days Of Future Past, The Time Machine, Darkest Hour, Death Of The Celts, The Parchment dan Hell On Earth.

Durasi kebanyakan lagu juga agak panjang kecuali Stratego dan Days Of Future Past selama empat minit 59 saat serta empat minit tiga saat.

Lagu lain berdurasi antara tujuh hingga 12 minit. Memang cukup lama!

Proses rakaman album ini dilakukan di Studio Guillame Tell di pinggir Paris, Perancis.

Pemain bass, Steve Harris berkata, mereka memilih lokasi itu kerana kawasannya cukup mendamaikan.

"Ia sesuai dengan apa yang kami mahukan. Bangunan itu asalnya sebuah panggung wayang. Keadaan siling yang tinggi memberikan kami bunyian akustik yang hebat.

"Proses rakamannya sama seperti album The Book Of Souls. Kami mencipta lagu, berlatih memainkannya dan terus merakam ketika idea masih segar dalam kepala.

"Ada beberapa lagu dalam album ini agak kompleks. Kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan 'sound' yang kami mahukan. Jadi, prosesnya agak mencabar. Saya bangga dengan hasilnya dan saya tak sabar untuk peminat mendengarnya," katanya.

IRON Maiden diiktiraf sebagai antara kumpulan heavy metal paling berpengaruh di dunia.
IRON Maiden diiktiraf sebagai antara kumpulan heavy metal paling berpengaruh di dunia.

Selain format CD berkembar, Senjutsu turut tampil dengan format piring hitam, box set mengandungi CD, Blu Ray dan cenderahati eksklusif selain format digital.

Selain Harris dan Dickinson, Iron Maiden yang ditubuhkan di London pada 1975 itu turut dianggotai Adrian Smith (gitar), Dave Murray (gitar), Janick Gers (gitar) dan Nicko McBrain (dram).

Iron Maiden yang juga antara dalam kelompok New Wave Of British Heavy Metal ini sudah menghasilkan 16 album studio sejak 1980.

Menurut MD Daily Record, sehingga tahun ini semua audio visual yang pernah dikeluarkan Iron Maiden merangkumi album studio, kompilasi, single, pita video dan DVD sudah terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:30 AM