Iron Maiden dianggotai (dari kiri) Adrian Smith, Janick Gers, Bruce Dickinson, Steve Harris, Dave Murray dan Nicko McBrain.
Iron Maiden dianggotai (dari kiri) Adrian Smith, Janick Gers, Bruce Dickinson, Steve Harris, Dave Murray dan Nicko McBrain.
Agensi

London: Kumpulan heavy metal legenda dunia, Iron Maiden tampil dengan album terbaru berjudul Senjutsu yang akan berada di pasaran mulai 3 September ini.

Jumaat lalu, kumpulan ini 'menggegarkan'peminat mereka apabila memuat naik single terbaru, The Writing On The Wall di saluran YouTube rasmi Iron Maiden yang sudah mencatat hampir lima juta tontonan hari ini.

Album studio ke-17 Iron Maiden ini diterbitkan Kevin Shirley yang turut menerbitkan album The Book Of Souls pada 2015 dan Brave New World pada 2000.

Proses rakamannya dilakukan di Studio Guillame Tell di pinggir Paris, Perancis.

Pengasas dan pemain bass, Steve Harris berkata, mereka memilih lokasi itu untuk merakamkan album kerana kawasannya cukup mendamaikan.

"Ia sesuai dengan apa yang kami mahukan. Bangunan itu asalnya adalah sebuah panggung wayang. Keadaan siling yang tinggi memberikan kami bunyian akustik yang hebat.

"Proses rakamannya sama seperti album The Book Of Souls. Kami mencipta lagu, berlatih memainkannya dan terus merakam ketika idea-idea masih lagi segar dalam kepala.

"Ada beberapa lagu dalam album ini agak kompleks. Kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan 'sound' yang kami mahukan. Jadi, prosesnya agak mencabar. Saya bangga dengan hasilnya dan saya tak sabar untuk peminat mendengarnya," katanya.

Difahamkan, judul Senjutsu diambil dari bahasa Jepun yang bermaksud taktik dan strategi. Kulit album juga memaparkan maskot Iron Maiden, Eddie yang digambarkan sebagai pahlawan samurai.

Penyanyinya, Bruce Dickinson berkata, lagu-lagu dalam album kali ini lebih variasi dan ada di antaranya agak panjang.

"Ada juga satu atau dua lagu yang agak berbeza berbanding lagu Iron Maiden yang biasa anda dengar. Saya rasa peminat kami akan terperanjat," katanya.

Apa yang menarik, album yang mengandungi 10 lagu ini tampil dengan format cakera padat (CD) berkembar, piring hitam, box set mengandungi CD, Blu Ray dan cenderahati eksklusif selain format digital.

Selain Harris dan Dickinson, kumpulan berasal dari London ini turut dianggotai Adrian Smith (gitar), Dave Murray (gitar), Janick Gers (gitar) dan Nicko McBrain (dram).

Iron Maiden yang juga antara dalam kelompok New Wave Of British Heavy Metal ini sudah menghasilkan 16 album studio sejak 1980.

Menurut MD Daily Record, sehingga tahun ini semua audio visual yang pernah dikeluarkan Iron Maiden merangkumi album studio, kompilasi, single, pita video dan DVD sudah terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 7:21 PM