PESAWAT Ed Force One yang menerbangkan Iron Maiden ketika menjayakan lokasi konsert jelajah dunia.
PESAWAT Ed Force One yang menerbangkan Iron Maiden ketika menjayakan lokasi konsert jelajah dunia.
ROBIN Williams.
ROBIN Williams.
Susunan Riadz Radzi


Kumpulan heavy metal terkenal dunia, Iron Maiden yang baru melancarkan album terbaru juga album berkembar, The Book Of Souls mendedikasikan salah satu lagu daripada album itu untuk mendiang pelakon komedi legenda, Robin Williams.

Menurut penyanyinya, Bruce Dickinson, lagu berjudul Tears Of A Clown ciptaan pemain bass Steve Harris dan pemain gitar Adrian Smith itu diinspirasikan daripada kematian mengejut Williams pada 11 Oktober tahun lalu di California, Amerika Syarikat (AS).

Williams membunuh diri selepas sekian lama bertarung dengan masalah kesihatan dan kemurungan.

Dickinson berkata, lagu berkenaan satu-satunya karya yang tidak diciptanya dalam album itu.

“Ia antara lagu kegemaran saya. Kematian Williams memang mengejutkan. Saya kerap berfikir, bagaimana dia menjadi murung sedangkan kita melihat dia gembira hampir setiap hari?” katanya.

Album terbabit adalah album studio ke-16 mereka selain pertama kali menghasilkan album berkembar sejak ditubuhkan di London, United Kingdom pada 1975.

Iron Maiden turut dianggotai Dave Murray (gitar), Janick Gers (gitar) dan Nicko McBrain (dram).

Selain itu, Iron Maiden turut mengumumkan Konsert Jelajah Dunia The Book Of Souls yang akan bermula di Fort Lauderdale, Florida, AS pada 24 Februari tahun depan.

Iron Maiden yang memiliki pesawat sendiri iaitu Boeing 747-400 dinamakan Ed Force One akan terbang ke 35 negara seluruh dunia bagi menjayakan konsert terbabit.

Pesawat yang dipandu sendiri Dickinson itu turut membawa anggota kumpulan itu, kru dan peralatan pentas.

Selepas AS, mereka akan mengadakan konsert di Mexico, El Salvador, Costa Rica, Argentina, Chile dan Brazil sebelum kembali ke AS dan Kanada pada Mac.

Selain itu, pada April Iron Maiden turut singgah di Jepun dan China sebelum meneruskan konsert di Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 8:31 AM