ANTARA babak animasi menarik dalam video klip lagu terbaru mereka, The Writing on the Wall. - FOTO Google
ANTARA babak animasi menarik dalam video klip lagu terbaru mereka, The Writing on the Wall. - FOTO Google
Susunan Riadz Radzi


SELEPAS kali terakhir tampil dengan album The Book of Souls pada 2015, Iron Maiden kembali 'menggegarkan' peminat mereka di seluruh dunia dengan lagu terbaru, The Writing on the Wall.

Bukti peminat kumpulan heavy metal ini cukup teruja ialah apabila selepas sehari klip video rasmi lagu ini dimuat naik di saluran YouTube Iron Maiden, Jumaat lalu, ia mencatat lebih 2.3 juta tontonan.

Dalam tempoh sama, ia turut mendapat lebih 16,000 komen yang rata-ratanya memuji dan teruja dengan lagu terbaru Iron Maiden itu.

Iron Maiden yang ditubuhkan di London pada 1975 itu kini dianggotai Bruce Dickinson (penyanyi), Steve Harris (bass), Dave Murray (gitar), Adrian Smith (gitar), Janick Gers (gitar) dan Nicko McBrain (dram).

Ia 'line-ups' yang sama sejak album ke-12, Brave New World pada 2000.

The Writing on the Wall dicipta oleh Smith dan Dickinson. Ia diterbitkan Kevin Shirley dan dibantu Harris.

Apa yang menarik, lagu terbaru itu tampil dengan video animasi hasil kerjasama dengan dua bekas eksekutif Pixar Animation Studios, Mark Andrews dan Andrew Gordon yang juga peminat tegar Iron Maiden.

Ia turut mendapat kerjasama studio BlinkInk yang berpangkalan di London.

IRON Maiden terus menggegar dengan barisan pemuzik hebat (dari kiri) Janick Gers (gitar), Adrian Smith (gitar), Bruce Dickinson (penyanyi), Steve Harris (bass), Dave Murray (gitar) dan Nicko McBrain (dram).  - FOTO Google
IRON Maiden terus menggegar dengan barisan pemuzik hebat (dari kiri) Janick Gers (gitar), Adrian Smith (gitar), Bruce Dickinson (penyanyi), Steve Harris (bass), Dave Murray (gitar) dan Nicko McBrain (dram). - FOTO Google

Dickinson dalam satu temubual menerusi video berkata, kerjasama dengan Andrews dan Gordon menjadi mudah kerana mereka memiliki kecenderungan yang sama terhadap muzik. Ini ditambah dengan pasukan dari BlinkInk.

"Perbincangan kami menerusi aplikasi Zoom penuh dengan idea kreatif dan ia cukup seronok. Saya bangga dengan hasil video animasi itu. Ia seperti filem mini. Saya tahu ia akan menjadi hebat apabila Mark menunjukkan 'storyboard' klip video itu.

"Saya dapat rasakan kami menghasilkan sesuatu yang istimewa. Dan, saya rasa kami berjaya dan harap peminat juga menyukainya. Lagipun ia sebenarnya dihasilkan oleh peminat Iron Maiden sendiri!" katanya.

Bagaimanapun, sama ada single terbaru ini akan membawa kepada penghasilan album terbaru Iron Maiden, ia belum dapat dipastikan lagi.

Kumpulan legenda yang juga antara dalam kelompok New Wave Of British Heavy Metal ini sudah menghasilkan 16 album studio sejak 1980.

Menurut MD Daily Record, sehingga tahun ini semua audio visual yang pernah dikeluarkan Iron Maiden merangkumi album studio, kompilasi, single, pita video dan DVD sudah terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:55 AM