HEFNY
HEFNY
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Semoga menjadi asbab penghapus dosa," kata penyampai radio Sinar FM, Hefny Sahad yang mendedahkan dirinya positif Covid-19.

Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Hefny memuat naik gambar gelang berwarna merah jambu di pergelangan tangannya, kelmarin.

Hefny berkata, dia bersyukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik, berbanding beberapa hari lalu dan berjanji akan berkongsi secara terperinci bagaimana boleh dijangkiti virus itu.

"Alhamdulillah, keadaan saya baik-baik sahaja berbanding tiga, empat hari lalu.

Nanti saya berkongsi sedikit kronologi dan simptom yang saya lalui sepanjang beberapa hari supaya dapat belajar sesuatu dan bersedia. Stay safe guys!," tulisnya.

Dalam pada itu, ruangan komen Hefny dihujani ucapan pengikut dan rakan selebriti yang mendoakan Hefny segera diberikan kesembuhan.

Antara selebriti memanjatkan doa ialah rakan gandingannya menerusi segmen Duo Sinar di Sinar FM, Siti Elizad.

"Aku doakan kau cepat sembuh okay! Walaupun kau suka sakitkan hati, aku doakan kau kuat dan diberikan kesihatan yang baik supaya kembali jadi supir aku seperti sedia kala," tulis Siti Elizad.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Hefny untuk mendapatkan komen lanjut mengenai keadaan kesihatannya tidak berjaya apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 1:56 PM