GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Peniaga juadah Aidilfitri kini bagai tidak menang tangan apabila menerima jumlah permintaan dan tempahan tinggi menjelang sambutan 1 Syawal tidak lama lagi.

Peniaga Rami Hazlin Mohamad Kamarudin Hilmi, 49, berkata, trend pembelian juadah Aidilfitri semakin ketara sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020 lalu.

"Trend bermula semasa PKP walaupun orang duduk rumah, tetapi mereka pilih beli juadah kerana mungkin ketika itu sukar hendak keluar membeli barang mentah dan sebagainya.

"Kami pernah burn out tahun itu kerana menerima banyak permintaan dan boleh dikatakan jualan kami pernah mencecah RM30,000 untuk tempahan hari raya pertama saja.

"Tahun lalu permintaan tinggi sehingga 100 ekor ayam dan 200 kilogram daging namun tahun ini kita jangka meningkat berdasarkan tempahan diterima," katanya yang menyediakan juadah berharga antara RM35 hingga RM120 mengikut kilogram dan jenis lauk.

Menurutnya, dia sudah menutup tempahan lebih awal walaupun baharu membukanya tidak sampai tiga hari, minggu lalu.

"Sekarang ini pun permintaan masih tinggi, tetapi kami tutup tempahan lebih awal walaupun baru membukanya minggu lalu kerana terima lebih 150 tempahan menu hidangan.

"Saya ambil tempahan mengikut kemampuan terutama kapasiti ruangan menyimpan sejuk beku," katanya.

RAMI Hazlin.
RAMI Hazlin.

Katanya, tempahan menu raya menjadi trend kerana ramai beranggapan lebih berbaloi membeli makanan siap berbanding masa dikeluarkan untuk memasak juadah berkenaan termasuk pergi ke pasar.

"Masyarakat kita bijak walaupun tempahan itu mahal contohnya satu menu kuzi boleh mencecah RM100 untuk seekor ayam tetapi permintaan sentiasa tinggi kerana orang fikir hendak cari bahan mentah lagi mahal dan renyah.

"Saya lihat kebanyakan pelanggan sanggup beli ini mengutamakan masa berbanding wang ringgit. Bagi mereka adalah lagi berbaloi membeli makanan siap kerana tidak perlu penat mencari bahan mentah di pasar dan memasak.

"Malah, tempahan juadah raya bukan lagi terhad untuk orang sibuk bekerja kerana buktinya majoriti pelanggan saya golongan suri rumah," katanya.

Katanya, tahun ini dia menawarkan tempahan lauk dan kek berbanding set makanan siap.

"Masa PKP, saya jual set nasi minyak dan tomato dengan lauk seperti rendang dan ayam masak merah boleh dimakan untuk lima orang dan diambil pada hari raya pertama.

"Tetapi kali ini saya lebih kepada penyediaan lauk yang boleh diambil sehari atau dua tiga hari sebelum raya," katanya.

Tempah set untuk ibu bapa sudah tua

Segelintir pelanggan menempah set menu Aidilfitri untuk dibawa balik ke kampung, selain untuk ibu bapa yang uzur atau bersedekah kepada rumah anak yatim.

Peniaga, Rozaidah Zainal Abidin, 39, berkata, trend itu dibuat berdasarkan tempahan dibuat pelanggannya apabila membeli set menu juadah Aidilfitri yang ditawarkannya sejak 2020.

"Pada asalnya kami cuma membuka tempahan untuk menampung jualan harian yang kurang sambutan, tetapi tidak sangka pula menerima 120 set tempahan pada 2020.

"Ramai pelanggan saya ketika itu tidak dapat balik beraya menempah makanan untuk ibu bapa mereka yang sudah tua.

"Ada juga membawa juadah itu untuk dimakan bersama keluarga di kampung dan ada pelanggan tetap sedekahkan kepada anak yatim," katanya.

ROZAIDAH.
ROZAIDAH.

Katanya, pembelian juadah Aidilfitri semakin popular kerana ramai beranggapan lebih berbaloi membeli makanan siap.

"Harga barangan semakin mahal... belum lagi fikir soal masa dan penat memasak lagi.

"Ramai pelanggan saya beranggapan lebih baik beli juadah siap berbanding masak lagi berbaloi terutama untuk keluarga kecil," katanya.

Katanya, dia masih membuka tempahan dan menyediakan penghantaran percuma ke seluruh Lembah Klang pada sehari sebelum Aidilfitri.

ANTARA set menu Aidilfitri yang dijual Rozaidah sejak 2020.
ANTARA set menu Aidilfitri yang dijual Rozaidah sejak 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 7:01 AM