Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Setiap kali Ramadan, gerai Murtabak Rahmat Cheese Leleh di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di sini, pasti menjadi tumpuan ramai.

Peniaganya Rizal Affendi, 50, berkata, dia mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Nurhidayah Osman, 44, dan anak mereka sejak 10 tahun lalu.

"Kami lega apabila kerajaan membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini walaupun dalam keadaan norma baharu.

"Alhamdulillah, sambutan masih menggalakkan macam dahulu apabila pendapatan kami mencecah RM1,800 sehari. Tahun lalu perniagaan kami kurang memberangsangkan kerana hanya berniaga dalam talian," katanya.

RIZAL bersama anaknya, Nurul Maulidur Amira, 21, menyiapkan Murtabak Rahmat Cheese di Bazar Ramadan Kampung Baru, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
RIZAL bersama anaknya, Nurul Maulidur Amira, 21, menyiapkan Murtabak Rahmat Cheese di Bazar Ramadan Kampung Baru, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim

Menurutnya, sejak 10 tahun lalu, mereka menawarkan harga murtabak serendah RM3 namun tahun ini dinaikkan kepada RM3.50.

"Kami masih mengekalkan resipi dan saiz sama, cuma tahun ini menaikkan harga 50 sen kerana kenaikan barangan mentah, namun harga itu masih berpatutan.

"Walaupun sudah 10 tahun, murtabak kami juga masih mempunyai peminat tersendiri terutama golongan muda yang gemarkan murtabak istimewa cheese manakala murtabak asli ayam dan daging menjadi pilihan orang lama," katanya.

Sementara itu, Mohd Aizat Mohd Saad, 31, yang baru pulang dari Korea Selatan tahun lalu mencuba nasib membuat kelainan menggabungkan resipi makanan tempatan dengan Korea Selatan.

MOHD Aizat bersama menu Ayam Spicy (kiri) dan Ayam Soy Sauce. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Aizat bersama menu Ayam Spicy (kiri) dan Ayam Soy Sauce. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Saya menggabungkan nasi lemak dan ayam yang disalut dengan sos cili dan soya popular di Korea Selatan, Gochujang yang dijual pada harga RM8 hingga RM12.

"Istimewanya sos ini, saya buat sendiri mengikut resipi asal yang saya pelajari ketika bekerja sambilan sebagai tukang masak di negara itu," katanya.

Menurutnya, walaupun pertama kali berniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang namun sambutan diterima menggalakkan apabila mampu menjual 20 hingga 30 bungkus sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 8:02 AM