Ezad Lazim.
Ezad Lazim.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Agak-agak kalau dah baik Polyps ini, suara saya jadi lain ke tak kalau menyanyi? Makin sedap macam Datuk Jamal Abdillah kot jadinya."

Itu kata penyanyi, Ezad Lazim yang berseloroh mengenai suaranya yang terkesan akibat ketumbuhan Nasal Polyps yang tumbuh dalam hidungnya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Ezad juga bekas vokalis kumpulan Exist berkata, ketumbuhan kecil itu memberi kesan kepada suaranya dan menambah bunyi sengau ketika menyanyi.

"Suara saya menyanyi memang bunyi sengau. Bila kena Nasal Polyps ini makin menjadi pula sengaunya.

"Hari ini hari kedua saya makan ubat. Ada lagi beberapa minggu lagi untuk saya teruskan makan ubat ini dan lihat hasilnya.

"Moga Polyps dalam hidung saya makin kecut dan dapat bernafas dengan sempurna. Doakan bersama supaya saya tak perlu dibedah," katanya.

Ezad juga berkongsi video demonstrasi pernafasan dengan menghembus nafas menggunakan hidung sebelah kanannya.

"Yang tersumbat terus sebelah kiri dah kurang, mungkin dah terbuka sikit dah. Dulu tak boleh (hembus nafas) langsung. Sekarang dah boleh keluar angin," katanya.

Ezad sebelum ini menderita penyakit berkaitan dengan hidung sejak 2016 dan selepas tiga tahun tidak menjalani pemeriksaan, ia berulang kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 10:35 PM