Ezad Lazim. Gambar kanan - laluan yang ditenggelami air.
Ezad Lazim. Gambar kanan - laluan yang ditenggelami air.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim berdepan saat getir apabila terpaksa mengharung air paras peha untuk pulang ke rumahnya di Kota Warisan, Sepang, Selangor malam tadi.

Ezad dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika dia pulang dari menjayakan persembahan di Sarawak pada Rabu. "Sekitar subuh pagi semalam, WhatsApp kumpulan penduduk kediaman saya maklumkan hujan lebat tapi air belum naik lagi.

"Dalam jam 10 atau 11 pagi, saya diberitahu hujan dah reda tapi air makin naik. Semua dah buat persediaan pindahkan barang ke tempat selamat dan tingkat atas rumah.

"Saya hubungi isteri, Zeana dan adik ipar supaya bersiap sedia apa yang patut termasuk ubah kereta ke tempat selamat," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka dapat melakukan persediaan cukup lengkap, namun bersyukur air tidak masuk ke rumah seperti yang dijangka.

"Air cuma naik sampai ke longkang rumah, namun jalan nak masuk ke kawasan perumahan digenangi air jadi seperti pulau.

"Saya sampai dari Sarawak sekitar jam 7 malam. Selepas solat maghrib saya beli makanan dan kemudian tukar pakaian yang lebih sesuai.

"Adik ipar datang ambil saya untuk balik rumah. Dia kata kita redah saja air untuk masuk ke kawasan perumahan. Saya pun setuju. Syukurlah saya berjaya juga redah air itu dan selamat sampai rumah," katanya.

Ezad yang berkongsi gambar kejadian di media sosialnya berkata, ia berlaku sekitar jam 9.30 malam.

"Saya dengan adik dan seorang penduduk taman juga. Saya tumpang lampu suluh mereka untuk redah air kerana jalan itu gelap kerana lampu jalan terpadam.

"Selain itu saya juga dibantu lampu dari kereta yang terpaksa diletakkan di kawasan yang selamat.

"Saya sebenarnya bimbang banjir teruk macam tahun lepas berulang lagi. Airnya lagi tinggi sampai paras pinggang," katanya.

Ezad berkata, barang-barang yang dipindahkan ke tingkat atas rumah tidak akan dibawa turun sehingga keadaan benar-benar selamat.

"Minggu depan saya akan beraksi untuk showcase solo di Langkawi pula. Kami akan berada di sana selama seminggu. Lagilah risau kalau berlaku apa-apa.

"Jadi biarlah dulu ia di atas. Kita pun tak tahu kemungkinan apa yang berlaku nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:05 PM