Ezad Lazim
Ezad Lazim
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim, 40 mendedahkan penyakit sinus yang pernah dideritainya pada 2016 kini berulang kembali.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, ketika kejadian pertama, dia berjumpa pakar serta makan ubat dan penyakit itu kemudiannya beransur reda.

"Apabila saya kena sakit lain yang lebih berat iaitu gastrik kronik (gerd), saya sudah tak buat pemeriksaan atau rawatan berkenaan sinus ini hampir tiga tahun.

"Tak jangka sejak kebelakangan ini ia menjadi serius balik. Kelmarin saya kembali jumpa doktor dan mencadangkan saya ambil ubat dulu," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Ezad, terdapat ketumbuhan kecil dalam hidungnya dikenali sebagai nasal polyps.

"Kalau polyps ini masih tak hilang, mungkin saya perlu menjalani pembedahan. Ia bergantung pada keputusan akan datang.

"Buat masa ini doktor cadangkan saya ambil semula ubat untuk sinus ini kerana sebelah kanan hidung saya dah tersumbat. 

"Saya kini bernafas menggunakan hidung sebelah kiri sahaja. Ia juga kerap berair," katanya.

Dalam masa sama, Ezad berkata doktor menasihatkan agar dia berpantang dalam pengambilan makanan.

"Saya juga kena berhenti makan makanan laut serta mengelakkan tempat berhabuk," katanya. 

Sementara itu, Ezad pernah diserang gastrik kronik di Singapura pada 2017 dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng, di sana.

Ia sekaligus membuatkan dia terpaksa membatalkan persembahannya untuk rakaman program #MuzikaEkstravaganza2017.

 

#kw Ezad Lazim sinus

#loc Kuala Lumpur

 

End

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 12:53 PM