RAFFI AHMAD
RAFFI AHMAD
Agensi

Jakarta: Ketika sebahagian majikan memotong gaji pekerja berikutan kesukaran ketika penularan Covid-19, sebaliknya selebriti Indonesia, Raffi Ahmad membuat keputusan menaikkan gaji pekerjanya sebanyak 20 peratus.

Ini berikutan pekerjanya diarahkan bekerja dari rumah susulan peningkatan mendadak kes Covid-19, di sana.

Raffi berkata, dia menambah 20 peratus daripada jumlah gaji yang diterima pekerja-pekerjanya sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya harap anda semua tenang dengan masalah gaji. Saya akan tambah gaji anda sebanyak 20 peratus. "Kalau syarikat lain ada yang terpaksa potong gaji pekerjanya, tapi saya tambah untuk persiapan jika berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada pekerja-pekerja ketika menonton perutusan kerajaan mengenai isu bekerja dari rumah.

Menurut Raffi, dia bersyukur kerana semua pekerjanya diberikan kesihatan yang baik selain anak dan isteri juga berada dalam keadaan yang sihat.

"Alhamdulillah kita masih dilindungi dan moga kita dijauhkan daripada wabak ini. Semoga semuanya berada dalam keadaan yang baik dan sihat," katanya.

Semalam, media melaporkan Indonesia merekodkan lonjakan kes positif baharu Covid-19 melebihi angka 20,000 kes, jumlah tertinggi sejak kes pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 12:37 PM