Raffi ketika tidur bersama anaknya, 'Baby R'.
Raffi ketika tidur bersama anaknya, 'Baby R'.
Agensi

Jakarta: Pelakon dan pengacara terkenal Indonesia, Raffi Ahmad, 34, masih lagi merahsiakan nama dan wajah anak keduanya yang dilahirkan secara pembedahan pada 26 November lalu.

Bayi lelaki yang hanya dipanggil 'Baby R' itu difahamkan akan diperkenalkan Raffi dan isterinya, Nagita Slavina, 33, dalam satu majlis khas yang akan diadakan mereka nanti.

Perkara itu dimaklumkan ibu Raffi, Amy Qanita yang meminta semua pihak bersabar untuk melihat wajah cucu barunya itu termasuk mengetahui nama bayi berkenaan disebabkan harus memenuhi permintaan Raffi.

"Buat masa ini belum ditayangkan lagi gambar penuh 'Baby R' kepada umum dan namanya kerana Raffi mungkin akan mengadakan satu majlis khas untuk memperkenalkan bayinya nanti.

"Tunggu saja masanya dan nanti biar Raffi sendiri yang umumkan semua. Rasanya, dia memang merancang akan mengadakan majlis untuk anaknya itu," katanya.

Menerusi perkongsian di sebuah saluran YouTube lain, Raffi dan Nagita yang mesra disapa Gigi dikatakan sudah mempunyai nama pilihan untuk 'Baby R' mereka, tetapi masih merahsiakannya.

Nama berkenaan adalah pilihan Raffi sendiri dan dia hanya memaklumkan kepada Nagita secara berbisik dan dipersetujui terus oleh isterinya itu yang menyerahkan keputusan penuh kepada Raffi.

"Terserah kamu yang pilih namanya. Kalau nama anak itu, harus daripada bapanya. Siapa saja boleh beri nama, tapi yang memutuskan tetap ayahnya," kata Nagita.

Pada Jumaat lalu, Nagita selamat melahirkan bayi lelaki mereka di Hospital Bunda, Menteng di Jakarta dan difahamkan ibu serta anak dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Raffi dan Nagita mendirikan rumah tangga pada Oktober 2014. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak sulung lelaki, Rafathar Malik Ahmad, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 2:14 PM