TEKUN belajar penghasilan muzik sejak usia 16 tahun.
TEKUN belajar penghasilan muzik sejak usia 16 tahun.
Georgie Joseph


SEBUTIR lagi bintang daripada ribuan bakat baharu serantau mula menyinar dari kejauhan.

Menggunakan nama komersial YHB Sleepsalot, anak kelahiran Singapura ini dalam misi menggegar dunia muzik masa kini.

YHB, 20, mengakui permulaannya menceburi dunia seni bertitik-tolak dari obsesnya terhadap bintang remaja popular, Justin Bieber.

Lagu popular Bieber iaitu Baby menjadi siulannya sejak 12 tahun lalu dan dirinya kerap mengimpikan untuk menjadi seorang penghibur.

Apabila membesar, dia didedahkan dengan muzik ikon-ikon tersohor dunia seperti bintang legenda Elvis Presley, Raja Pop Michael Jackson serta nama-nama lain termasuk Drake, Travis Scott dan juga kumpulan One Direction.

Pengaruh muzik aneka warna itu menyemarakkan lagi cintanya terhadap dunia muzik.

Lantas sepanjang di sekolah menengah, dia mula mencipta lagu dan akhirnya merakam lagu pertamanya tiga tahun lalu.

"Mencipta lagu tidak susah buat saya. Ia ibarat minda pra-sedar saya mengambil alih diri dan hanya perlu menterjemahkan idea itu ke dalam lagu. Saya dapat cetusan ilham sedikit demi sedikit pada bila-bila waktu di dan mana saja.

"Jadi saya akan masukkan semua itu ke dalam nota saya. Setiap kali idea tergendala seketika, saya hanya perlu merujuk semula catatan saya dan kemudian ia menjadi seperti sebuah pintu penuh ilham," katanya.

Tanpa disangka sebuah sedutan rakaman ringkasnya mengubah kehidupannya tatkala mencuri perhatian dua bintang hip hop popular iaitu ALYPH dan juga SonaOne melalui kuasa media sosial.

Pertemuan mereka merealisasikan impiannya bergelar artis rakaman sebaik dilamar Def Jam Asia Tenggara.

Sejak itu, YHB enggan menoleh belakang dan terus bersemangat untuk membuat perubahan dalam dunia muzik pop serta hip hop.

Mampu berbahasa Melayu dan Inggeris dengan lancar memberikan kelebihan dalam menyampaikan muziknya lebih luas lagi.

Cukup gemar melukis, menonton drama bertema dan bermain bola sepak juga menyumbang kepada keutuhan aliran seni di dalam dirinya.

Menyimpan hasrat membawa karya seninya keluar dari Singapura, YHB jelas memiliki pakej lengkap. Semestinya ia menjadi senjata utamanya untuk lebih berhasil mengembangkan lagi sayap kerjayanya.

Dianugerahkan paras rupa kacak, vokal nyanyian yang merdu turut memberikan kelebihan buatnya.

Kerap mencipta kandungan kreatif di media sosial, keunikannya turut mencuri perhatian ramai.

YHB mula menghasilkan muzik sendiri ketika dengan menggunakan melodi yang ditemuinya menerusi YouTube.

Semakin mendalami kemahiran produksi muzik, penat lelahnya terbayar apabila lagunya Karabujan menangkap perhatian ALYPH dan SonaOne.

Kemudian dia tampil dengan lagu Terminal dan Blow Up yang sekali gus berjaya meletakkannya dalam senarai New Era Spotify: Senarai Lagu Hip Hop Asia.

Dia juga pernah beraksi untuk persembahan pembukaan artis terkemuka rantau ini antaranya MK K-Clique, Kidd Santhe dan Tuju K-Clique.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:49 AM