K-CLIQUE
K-CLIQUE
Syafil Syazwan Jefri


MELANGKAH ke tahun kedua dalam industri muzik tanah air, kumpulan hip hop popular dari Sabah, K-Clique terus meneroka pelbagai pengalaman dalam berkarya.

Terpalit beberapa kontroversi tidak pernah mematahkan semangat, sebaliknya membakar semangat mereka untuk terus berkembang.

Tahun ini, K-Clique yang dianggotai Tuju, Noki, MK, Somean, KDeaf, Gnello, FareedPF dan NastyNas ingin terus berkarya dan menebus kembali kerugian yang mereka alami akibat pandemik Covid-19.

"Banyak yang kami rancang sebelum ini terpaksa ditunda akibat Covid-19. Jadi, antara yang kami lakukan adalah senaraikan karya lagu," kata Noki mewakili rakan.

Ditanya mengenai kerugian yang mereka alami, K-Clique tidak menafikan ia mencecah ratusan ribu ringgit.

"Kalau bercakap mengenai kerugian, memang banyak. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadual kami agak padat sehingga hujung tahun ini.

"Namun, semuanya ditangguhkan dan kalau ikut kiraan, lebih daripada 10 persembahan. Itu baru persembahan berkumpulan, belum termasuk persembahan solo setiap daripada kami. Jadi, jumlah kerugian mencecah ratusan ribu ringgit untuk kami," kata Tuju pula.

Bercerita mengenai perjalanan seni K-Clique, peminat setia mereka kini boleh membaca semuanya dalam buku pertama yang dikeluarkan mereka berjudul Merais.

DARI kiri: Gnello, Tuju, MK, Noki dan Somean.
DARI kiri: Gnello, Tuju, MK, Noki dan Somean.

"Buku Merais ini dikeluarkan pada 25 Ogos lalu dan menjadi buku pertama kami. Ia menceritakan mengenai perjalanan kami dari awal sehingga ke hari ini.

"Setiap anggota ada satu bab yang bercerita mengenai pengalaman masing-masing. Secara keseluruhan, ada sembilan bab yang mengisi buku ini," kata Tuju.

Menurut Noki, buku itu akan menjadi sumber buat peminat untuk mengenali mereka dengan lebih mendalam.

"Apa yang boleh dijanjikan menerusi buku ini, peminat akan tahu lebih banyak mengenai kami. Kami ada lapan anggota, tapi semuanya bersatu dalam buku ini," katanya.

Selain buku, Merais juga diterbitkan dalam bentuk single dan berkongsi jalan cerita yang sama.

Melihat kejayaan K-Clique mencipta nama sehingga mampu bekerjasama dengan pelbagai artis tempatan, timbul juga beberapa kenyataan 'tumpang populariti' yang dikaitkan dengan mereka.

Bukan saja dikatakan menumpang populariti orang lain, bahkan ada juga artis yang dikatakan menumpang populariti K-Clique.

"Tak ada istilah menumpang populariti kerana setiap lagu, ada rezekinya yang tersendiri. Kalau lagu itu tidak ada rezeki, tak ada masalah kerana kami akan terus berkarya.

"Jadi, label tumpang populariti itu sepatutnya lebih sesuai digantikan dengan perkataan 'kerjasama' kerana kami bekerjasama dan pada masa sama, serahkan 100 peratus rezeki kepada Allah," kata MK pula.

Terkini, Gnello, Somean dan MK menampilkan seorang lagi artis berbakat dalam muzik hip hop iaitu AJ menerusi lagu baharu berjudul Pulang.

"Pulang adalah satu karya baharu dan nampak gayanya, ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat.

"Dalam masa tiga hari pertama saja, Pulang sudah berjaya menempa nama dalam senarai 'trending' di YouTube," kata MK.

Bercerita lebih lanjut mengenai Pulang, MK berkata, ia sesuai dengan situasi pandemik yang melanda dunia hari ini.

"Ada dalam kalangan kita terpaksa berjauhan dan tidak dapat pulang bertemu keluarga. Jadi, lagu ini kami sesuaikan dengan situasi yang berlaku hari ini.

"Pada masa sama, ia juga bersifat universal dan boleh menyentuh jiwa ramai orang," katanya lagi.

K-Clique sentiasa berharap agar kehadiran mereka dan karya mereka akan terus diterima dengan baik oleh pendengar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 6:00 AM