Kumpulan hip hop baru dari Sabah, ISOBAHTOS
Kumpulan hip hop baru dari Sabah, ISOBAHTOS
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan hip hop ISOBAHTOS dari Sabah tidak terkesan dibandingkan dengan kumpulan hip hop popular senegeri, K-Clique kerana yakin mereka ada kekuatan tersendiri.

ISOBAHTOS yang dianggotai Azizan Danial Abdullah (A.D), Diji Panis (D&G), Jay Adner James (ghidd), Ian Josue Jaideh (IAN J.), Oliver Ordine (Ibherrrr), Ramziwazizi (Ramzi Ali), Quenner Mitchell Pauzi (Quenner M.), Roysten Habirin Lapongan (RODB), Jesper Evans Dumali (RYT) dan Carey Didier Chin Zao Yuan (YERAC) juga handal menari dalam pelbagai rentak.

A.D berkata, mereka memang ada menerima komen-komen yang membandingkan mereka dengan K-Clique.

"K-Clique ada keistimewaan tersendiri, begitu juga kami. Anggota ISOBAHTOS rata-ratanya datang dari sebuah kumpulan tarian. Kami bermula membuat muzik-muzik tarian, menari pelbagai jenis tarian baik hip hop hinggalah tradisional.

"Inilah kelebihan ketara kami di mana selepas ini boleh ditonjolkan dalam setiap muzik video. Mungkin orang sudah tahu kami ada bunyi tersendiri," katanya.

ISOBAHTOS juga terbuka jika dilabel bukan sekadar kumpulan hip hop kerana tunjangnya mereka memang ingin tunjukkan mereka serba boleh dari pelbagai sudut.

"Dalam masa sama, kami mahu buktikan kepada semua kami boleh menari. Kalau orang nak label kami K-Pop, pop atau rock sekali pun tak kisah. Yang pasti kami memang suka membuat persembahan di pentas.

"Kami mampu buat persembahan bukan sekadar hip hop, tapi corak persembahan yang lebih menyeluruh. Kami boleh bermain kugiran dan ada pengarah muzik yang pastikan semua elemen itu boleh digabungkan dalam persembahan," katanya.

Ditemui pada sidang media maya pelancaran lagu baharu berjudul Kados, ISOBAHTOS juga akui terdapat kekangan untuk luaskan muzik serta muzik mereka kerana halangan bahasa.

"Dalam lagu-lagu terdahulu, kami banyak menggunakan perkataan slanga Sabah yang hanya difahami orang sana. Jadi, sukar untuk pendengar luar cuba nak fahamkan apa lirik kami.

"Bagaimanapun, pengurus kami sudah menasihatkan untuk jadikan lirik kami lebih universal supaya dapat difahami lebih ramai. Itu antara aspek yang kami akan terus perbaiki," katanya.

Kini bernaung di bawah label Def Jam Recordings Malaysia, ISOBAHTOS sedia menakluk industri muzik arus perdana dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 2:42 PM