HAFREEZ ADAM
HAFREEZ ADAM
Najiy Jefri

Pelakon Hafreez Adam mengakui pernah berputus asa sehingga mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerjaya lakonan.

Hafreez berkata, perasaan itu hadir pada awal pembabitannya dalam karier seni apabila berasakan kehadirannya tidak layak sebagai pelakon kerana kurang ilmu.

Bagaimanapun, Hafreez kembali bangkit dan melupakan hasrat terbabit selepas memenangi anugerah dan menganggap ia sinar baharu untuk dirinya terus bangkit.

"Pernah rasa nak berhenti dah dulu. Siap dah buat pengumuman dekat Instagram, ini masa awal-awal berlakon dulu. Saya ingat saya tertekan sangat sebab rasa tak bagus berlakon dan tak boleh nak sesuaikan diri dalam industri.

"Saya selalu rasa bersalah sebab ada kawan-kawan dalam industri yang bermati-matian selama bertahun untuk dapatkan watak besar tapi tak dapat walaupun sangat berbakat. Jadi saya rasa macam tak layak dan macam sekat peluang orang lain yang memang terbukti berbakat, ilmu saya sangat sikit masa masuk dalam industri.

"Saya berdoa minta Allah tunjukkan jalan sama ada perlu teruskan atau berhenti. Selang dua hari, saya menang Anugerah Bintang Popular BH 2016 untuk kategori Artis Baharu Lelaki. Masa itu, saya ambil ia sebagai petanda dari Allah, ini adalah laluan saya, rezeki saya cuma perlu kuat dan niat kena sentiasa betul," katanya menjawab soalan seorang pengikut di Instagram Story.

Dalam pada itu, Hafreez turut berkongsi pengalaman menyedihkan sepanjang bergelar pelakon apabila bapanya meninggal dunia ketika dia sedang menjalani penggambaran sebuah telefilem pada Oktober 2019.

Katanya lagi, dia juga seakan ' dipulau' selepas kematian bapanya apabila kembali memasuki set penggambaran terbabit.

"Tak boleh lupa ketika menjalani penggambaran dengan sebuah produksi ini, bila ayah meninggal saya sedang menjalani penggambaran telefilem dan jadual agak padat.

"Ayah meninggal awal pagi, saya beritahu pihak produksi saya boleh datang semula ke lokasi cuma bagi selesaikan urusan pengebumian arwah sahaja kemudian saya akan terus ke lokasi tapi mereka putuskan untuk cuti hari itu.

"Saya rasa bersalah dah sebab menganggu jadual orang lain, esoknya saya kena datang set untuk habiskan penggambaran, calltime (waktu berkumpul) pukul 7 pagi tak silap di area Kuala Selangor, saya dan heroin sampai tepat pada waktunya.

"Namun pasukan lain sampai pukul 9 pagi, kemudian melengahkan nak mulakan penggambaran nak dekat tengahari dan habis pun lewat. Walaupun tahu hari itu ada majlis tahlil untuk arwah. saya rasa orang itu tak sensitif," katanya.

Pada Mei lalu, Hafreez mendedahkan dirinya berdepan masalah kemurungan sekitar tahun 2013 dan berkongsi semula pengalaman itu dengan tujuan dapat membantu orang lain yang mengalami masalah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 3:14 PM