KELLY Azman
KELLY Azman

Kuala Lumpur: Juri program All Together Now Malaysia (ATNMY), Kelly Azman dikecam teruk warganet gara-gara dikatakan tidak pandai menilai bakat baharu yang membuat persembahan pada program hiburan itu, semalam.

Biarpun baharu bersiaran episod pertama, nama Kelly menjadi sebutan ramai apabila ada yang mendakwa dia tidak layak berada di kerusi juri dan 'menyemak'.

Kelly ketika dihubungi berkata, biarpun dimaki dan menerima banyak maklum balas negatif di media sosial namun dia menerima segala komen dengan hati terbuka.

"Tidak hanya dia media sosial, malah sejak malam tadi mesej peribadi Instagram saya turut dihujani cacian dan makian daripada netizen.

"Biarlah apa orang nak cakap kerana saya mempunyai alasan tersendiri dalam membuat pilihan untuk beri markah kepada peserta. 

"Saya tak kisah fasal komen-komen negatif yang diberikan. Kalau saya tak bangun untuk beri markah maknanya saya memang tak suka persembahan itu," katanya.

Menurut Kelly, biarpun dihentam dan dimaki namun ada persembahan yang sememangnya layak dan dia berdiri memberikan markah.

"Cuba lihat persembahan Ajoi Zainal yang berjaya ke akhir, saya berdiri kerana dia benar-benar layak dan ada pakej.

"Biarlah apa orang nak cakap mengenai diri saya kerana masing-masing ada selera dan pilihan yang berbeza," katanya.

Selain Kelly, terdapat 49 juri ATNMY yang diberi amanah untuk memilih peserta yang terbaik dalam program itu. 

Juri lain yang terbabit seperti Datuk AC Mizal, Siti Nordiana, Zizan Razak, Jaclyn Victor, Tuju K-Clique,  Liza Hanim, Kaka Azraff dan ramai lagi.

ATNMY adalah program realiti yang diadaptasi daripada format antarabangsa popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.

Program ini turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format berkenaan diadaptasi semula di serata dunia termasuk Australia, Russia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.

Malaysia adalah negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan. ATNMY masih mengekalkan format asal program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 12:46 PM