PROGRAM realiti ATNMY kekal format asal tapi disuntik elemen tempatan
PROGRAM realiti ATNMY kekal format asal tapi disuntik elemen tempatan
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM realiti All Together Now Malaysia (ATNMY), pertandingan nyanyian yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang had umur. Penyertaan terbuka secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan.

Barisan peserta juga bebas memilih genre muzik dan jenis bahasa untuk diketengahkan dalam lagu persembahan masing-masing. Juara ATNMY musim pertama bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 berserta sebuah trofi.

Program ini diadaptasi daripada format antarabangsa popular All Together Now yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One. Program ini juga turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format berkenaan diadaptasi semula di serata dunia termasuk Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.

Malaysia adalah negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan. ATNMY masih mengekalkan format asal program berkenaan.

Namun, terdapat pengisian elemen tempatan yang turut disuntik untuk menambah baik format asal agar bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia.

Keunikan utama program ATNMY yang dikendalikan oleh Sherry Al Hadad selaku pengacara ini terletak kepada jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar membabitkan 50 juri tetap serta hampir 250 keseluruhan peserta untuk musim pertama.

Mengangkat tagline Bersatu Dengan Lagu, penerbitan musim pertama ini turut memperkenalkan konsep muhibah menerusi pemilihan barisan juri dan menyaksikan penyertaan daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Diketuai oleh selebriti popular, Datuk AC Mizal selaku Kapten Juri, semua 50 juri yang dilantik terdiri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara dan personaliti media sosial.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya komited dalam memperkenalkan kepelbagaian kandungan adaptasi antarabangsa bagi memenuhi cita rasa penonton.

"Bagi mengorak langkah ke hadapan sebagai perintis industri kandungan harta intelek (IP) utama di Malaysia, Astro amat komited dalam memperkenalkan kepelbagaian merangkumi format kandungan tempatan dan kandungan adaptasi antarabangsa bagi memenuhi cita rasa penonton.

"Selepas agak lama menyepi daripada menganjurkan sebarang pertandingan nyanyian yang membabitkan penyertaan amatur, saluran Astro Ria kini berbesar hati menganjurkan program ATNMY bagi mengubat kerinduan orang ramai terhadap program sebegini.

"Kali terakhir Astro Ria menganjurkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada format antarabangsa seumpama ini ialah menerusi program fenomena Akademi Fantasia yang kali terakhir diterbitkan pada 2017 untuk edisi AF Megastar.

"Sebenarnya proses adaptasi bukanlah mudah seperti yang disangka. Selain terikat dengan garis panduan format asal yang ketat, setiap perincian mesti diambil kira bagi memastikan elemen tempatan dapat diterapkan sekali gus mengelakkan sebarang sensitiviti agar bersesuaian dengan adab resam dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Program ATNMY sudah dua kali ditunda daripada tarikh asal yang dijadualkan akibat situasi ketidaktentuan pandemik pada ketika ini.

Walaupun program ini baru dilancarkan, pihak produksi sudah memulakan misi pencarian bakat untuk menyertai musim seterusnya. Sesi uji bakat musim kedua kini secara rasminya sudah dibuka secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:50 AM