SHERRY teruja dalam gugup mengacarakan ATNMY diadaptasi daripada program dari UK.
SHERRY teruja dalam gugup mengacarakan ATNMY diadaptasi daripada program dari UK.
Najiy Jefri


PENGACARA popular, Sherry Alhadad mengakui teruja apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program All Together Now Malaysia (ATNMY) yang diadaptasi daripada program realiti terbitan BBC One, United Kingdom (UK).

Lebih menarik, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menghasilkan versi tempatan program realiti itu dan menjadi negara ke-17 dunia menganjurkannya.

Bersyukur dirinya terus diberi peluang, Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad berkata, tugasan kali ini dianggap bukan mudah apatah lagi dia perlu mengacarakan program itu seorang diri.

"Pada mulanya ketika syarikat produksi memaklumkan saya akan mengacarakan program ini bersendirian, saya jadi gugup. Selama ini, saya tahu ada pasangan yang boleh menolong kita apabila tersasul atau tersalah cakap.

"Tapi, kali ini kalau saya tersalah cakap, saya kena 'back up' diri sendiri.

"Namun, kehadiran kira-kira 50 artis yang menjadi juri tetap termasuk kapten juri iaitu Datuk AC Mizal dalam ATNMY memberi saya semangat dan membuatkan jadi lebih seronok.

"Kalau tersilap, saya ada 'back up' besar atas pentas kerana ada 49 lagi artis yang membantu. Apapun jangan kata peserta gugup menghadap 50 juri, saya yang buat kali pertama melakukannya pun gugup juga," katanya.

Tambah Sherry, antara cabaran besar yang perlu dihadapinya sepanjang penggambaran program terbabit adalah mengendalikan 50 artis dalam satu masa.

"Cukup mencabar untuk mengawal dan menguruskan puluhan artis dalam satu masa. Tambahan pula, setiap selebriti ada pandangan tersendiri. Bayangkan apabila semua juri mahu bercakap serentak, jadi saya perlu naik dan turun tangga untuk pergi kepada mereka.

"Kadang-kadang saya terpaksa menjerit menyuruh mereka diam," katanya.

ATNMY adalah pertandingan nyanyian yang terbuka kepada rakyat Malaysia tanpa had umur.

Program ini mencetuskan fenomena luar biasa dan sudah diterbitkan oleh banyak negara seperti Australia, Russia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland dan Perancis.

Antara juri terbabit adalah Syamel, Ernie Zakri, Mark Adam, Noryn Aziz, Erra Fazira, Tuju, Siti Nordiana, Zizan Razak, Khai Bahar dan Zizi Kirana.

Dalam masa sama, Sherry ingin berterima kasih kepada produksi kerana sentiasa memastikan setiap selebriti menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang penggambaran.

"Pihak produksi mempunyai pasukan yang khusus untuk menjaga SOP. Jadi, setiap selebriti perlu mematuhi sepanjang penggambaran berlangsung.

"Bagi saya, kawalan ketat yang ditetapkan adalah langkah baharu yang perlu dip

atuhi semua memandangkan wabak Covid-19 ini kita tak nampak. Tapi, syukur proses penggambaran berjalan lancar," katanya.

ATNMY yang dirakam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu disiarkan setiap Ahad jam 9 malam, mulai 6 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:43 AM