DAVID Ellefson, pemain bass Megadeth.
DAVID Ellefson, pemain bass Megadeth.
Agensi

Los Angeles: Kumpulan thrash metal popular dunia, Megadeth memecat pemain bass, David Ellefson berhubung tuduhan membabitkan skandal seks.

Ellefson yang menubuhkan Megadeth bersama penyanyi dan pemain gitar, Dave Mustaine pada 1983 dituduh cuba menggoda gadis bawah umur secara dalam talian.

Mustaine dalam satu kenyataan semalam berkata, Eleffson bukan lagi anggota Megadeth.

"Kami mengumumkan David Ellefson tidak lagi bersama Megadeth dan kami sudah berpisah secara rasmi.

"Ini bukan keputusan yang mudah. Walaupun kami tak tahu sepenuhnya apa yang terjadi, tetapi dengan hubungan yang semakin renggang, semua ini sudah cukup untuk kami tidak bekerjasama lagi," katanya.

Sementara itu, pemain bass berusia 56 tahun itu menafikan tuduhan itu menerusi Instragram.

Katanya, tuduhan itu adalah niat buruk pihak ketiga yang mahu merosakkan reputasi, kerjaya dan keluarganya.

Ellefson yang menubuhkan Megadeth bersama Mustaine di Los Angeles kekal bersama kumpulan sebelum keluar pada 2002. Dia kemudian kembali bersama Megadeth pada 2010.

Megadeth yang memiliki 16 album studio dan terjual lebih 38 juta unit di seluruh dunia diiktiraf antara kumpulan thrash metal terbaik atau 'the big four' bersama Metallica, Anthrax dan Slayer.

Selain Mustaine dan Ellefson, ia turut dianggotai Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbeuren (dram).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:12 PM