Nabila Huda
Nabila Huda
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Nabila Huda meluahkan rasa kecewa kerana disebabkan kecuaian individu lain dirinya menanggung sakit apabila disahkan positif Covid-19.

Menurusi hantaran di Instagram Story, Nabila menyeru peminat dan orang ramai supaya kekal duduk di rumah.

"Kalau tak ada sebab nak keluar, duduk rumah diam-diam. Disebabkan degil, orang yang tak bersalah menjadi mangsa.

"Kesakitan yang datang berpunca dari kepentingan dan kecuaian orang lain ini dipanggil teraniaya," katanya.

Menurut Nabila, apa yang menimpa dirinya adalah kesakitan yang amat menyakitkan kerana bukan berpunca dari dirinya.

"Kita kena reda dengan qada dan qadar. Ini bukan kena reda. Ini adalah penyakit yang dicari atas kedegilan sendiri.

"Kesakitan yang ditanggung kerana kedegilan dan kepentingan orang lain adalah kesakitan yang amat menyakitkan.

"Kerana nafsu dan keseronokan, orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Jangan berlakon jadi mangsa dalam situasi yang awak sendiri buat," katanya.

Nabila bagaimanapun tidak menjelaskan dengan terperinci siapa individu yang dimaksudkan dan bagaimana jangkitan itu menular kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 5:48 PM