ZVEREV mengalami kesakitan lutut selepas terjatuh di Wimbledon, minggu lalu. FOTO AFP
ZVEREV mengalami kesakitan lutut selepas terjatuh di Wimbledon, minggu lalu. FOTO AFP
AFP

Hamburg: Pilihan utama, Alexander Zverev mengetepikan kesakitan lutut untuk mengatasi Jesper de Jong dan mara ke pusingan 16 terakhir di Terbuka Hamburg, awal pagi tadi.

Juara bertahan kejohanan di tempat sendiri itu cedera lutut selepas terjatuh di Wimbledon, tetapi mara hasil kemenangan 6-2, 6-2 ke atas pemain ranking ke-114 dari Belanda, De Jong dan akan berdepan pemain Perancis, Hugo Gaston pada kejohanan pra Olimpik di gelanggang tanah liat itu.

"Pagi tadi, saya belum pasti sama ada akan bermain atau tidak kerana lutut saya agak sakit ketika memanaskan badan," kata pemain Jerman yang menduduki ranking keempat dunia itu.

"Bagaimanapun, apabila masuk ke gelanggang, rasa sakit itu hilang bersama semangat dan keghairahan yang tinggi.

"Kesakitan itu lebih terasa ketika saya berdiri dan ia pasti mengambil masa untuk pulih, bukan beberapa hari, tetapi mungkin minggu. Terpulang kepada saya sama ada mahu terus bermain atau tidak."

Zverev yang mara ke pusingan keempat di gelanggang rumput di Wimbledon, meraih kemenangan ke-41 bagi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 8:39 AM