SHAHRULEZAD.
SHAHRULEZAD.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penerbit syarikat produksi Radius One, Shahrulezad Mohameddin mengambil langkah untuk menjalankan 'lockdown' kepada syarikat produksinya bagi memastikan keselamatan pekerja selain mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.

Shahrulezad berkata, dia meminta pekerja termasuk pelajar latihan amali (praktikal) yang bertugas di syarikatnya supaya tidak hadir ke pejabat.

"Semua pekerja Radius One termasuk 'internships' (pelajar praktikal) dilarang datang ke pejabat sehingga diberitahu kelak. Duduk di rumah diam-diam. Jangan keluar. Kerja dari rumah.

"Segala urusan pejabat termasuk mesyuarat produksi akan dilakukan secara dalam talian," katanya.

Dia ketika dihubungi berkata, keselamatan pekerjanya menjadi keutamaan dan tanggungjawab dirinya.

"Sebagai penerbit, apa yang saya boleh lakukan adalah memastikan keselamatan pekerja. Itu yang paling utama. 

"Buat masa sekarang, banyak penggambaran sudah diselesaikan sebelum Ramadan dan ada beberapa lagi yang belum selesai.

"Saya berikan kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah. Sekarang sudah mudah sebab banyak perkara boleh diuruskan secara dalam talian," katanya.

Shahruezad berkata, pihaknya juga memilih untuk menjalankan 'lockdown' kendiri kerana itu adalah langkah terbaik.

"Mungkin lain industri, prosesnya berbeza. Tapi, untuk syarikat kami, saya rasa 'lockdown' ini adalah langkah terbaik dan tak perlu kami nak tunggu kerajaan umumkan 'lockdown'.

"Lagi pula, syarikat produksi saya pun tidak besar. Cuma ada beberapa puluh pekerja sahaja. Jadi, mudah untuk kami uruskan," katanya.

Shahrulezad juga menyeru masyarakat supaya berhenti menyebarkan maklumat palsu.

"Mereka yang menyebarkan maklumat serta berita palsu adalah individu yang tidak bertanggungjawab. Tindakan mereka itu boleh menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat.

"Untuk saya sendiri, saya lebih memilih untuk mendapatkan berita daripada sumber yang sahih iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:40 AM