FADHLI tak dapat beraksi tiga perlawanan sebelum ini.
FADHLI tak dapat beraksi tiga perlawanan sebelum ini.
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan berpengalaman, Fadhli Shas sudah sedia untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pemain berusia 32 tahun itu berkata, kecederaan belakang yang dialami menyebabkannya terlepas tiga perlawanan, termasuk satu dalam saingan Piala Malaysia.

"Ketika ini, saya dalam proses pemulihan dan sedia disenaraikan apabila berdepan kelab M3, Harini Selangor FT dalam saingan Piala Malaysia pada 20 Ogos ini.

"Kesakitan yang dialami ini berlaku sudah lama tetapi ia semakin serius sebelum Sri Pahang berdepan Perak FC pada 30 Julai lalu.

"Alhamdulillah, selepas lebih dua minggu ini, kesakitan yang dialami semakin pulih dan sedia diturunkan selepas ini. Bagaimanapun, ia terpulang kepada keputusan daripada ketua jurulatih, Fandi Ahmad," katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Musim ini, Fadhli antara tonggak utama skuad Tok Gajah untuk mengekang asakan lawan di bahagian pertahanan.

Sebagai pemain pertahanan, Fadhli menjadi taruhan utama Fandi sepanjang musim ini.

Fadhli terlepas bermain dalam tiga perlawanan iaitu berdepan Perak FC, kelab Harini Selangor FT dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 3:49 PM