TMJ akui akan ada lagi pemain meninggalkan JDT.
TMJ akui akan ada lagi pemain meninggalkan JDT.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan mereka akan tampil selaku pasukan 'underdog' (bukan pilihan) pada musim hadapan.

Jelas Tunku Ismail, perkara itu sebahagian dari langkah penjimatan kewangan pasukan. Biarpun JDT satu-satunya kelab yang mempunyai kecanggihan fasiliti termasuk stadium, ia masih gagal menarik minat penyokong tegar Harimau Selatan untuk hadir memenuhkan Stadium Sultan Ibrahim.

"Underdog (bukan pilihan) tahun depan. Akan ada ramai lagi pemain akan keluar dari kelab. Proses berjimat. Stadium jarang penuh. RM10 saja tiket terbuka.

"Apapun, kita doa yang terbaik untuk pasukan. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami," menurut Tunku Ismail di ruangan komen Instagram rasmi JDT.

Untuk rekod, bermula dari 2013 sehingga 2023, Harimau Selatan sudah merangkul 26 kejuaraan liga domestik termasuk Piala AFC pada 2015.

Menurusi kenyataan rasmi dari media sosial Johor Southern Tigers (JST) hari ini, kelab itu melepaskan sebahagian barisan kejurulatihan dan pemain kerana mereka melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40 peratus disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.

"Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

"Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

"JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor," katanya," katanya menerusi kenyataan rasmi JST.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 9:46 PM