SOLARI dan beberapa pemain tidak lagi bersama JDT  musim depan. FOTO Johor Southern Tigers
SOLARI dan beberapa pemain tidak lagi bersama JDT musim depan. FOTO Johor Southern Tigers
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari dan bekas ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak antara barisan kejurulatihan serta pemain yang dilepaskan pasukan Harimau Selatan bagi musim hadapan.

Menurusi kenyataan rasmi dari media sosial Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi, keputusan itu dibuat bagi memastikan pasukan JDT terus berdaya saing dari segi kewangan.

"Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.

"Kelab membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

"Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

"Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab," menurut kenyataan itu.

Selain itu, lima pemain Harimau Selatan juga akan dipinjamkan ke pasukan luar bagi mendapatkan minit permainan lebih banyak.

"JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor," menurut kenyataan itu.

Semalam, Arena Metro melaporkan Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) melakukan perubahan besar dari segi kos perbelanjaan pasukan itu pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, jika sebelum ini mereka berbelanja besar, namun bagi musim 2024/25, Harimau Selatan melakukan perubahan iaitu dengan pengurangan kos kewangan demi memastikan pasukan itu terus berdaya saing pada musim akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 6:25 PM