Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Sweet Qismina yang sebelum ini dikatakan menjadi punca penularan Covid-19 di lokasi penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak tidak mahu menganggap itu sebagai isu besar.

Sweet yang menerima dakwaan itu dengan hati terbuka enggan menuding jari kepada mana-mana pihak kerana dia sendiri menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pada mulanya, saya marah juga bila dikatakan sebagai punca. Tapi, saya tak boleh nak salahkan sesiapa dan tidak menganggap perkara itu sebagai isu besar. Saya terima dengan hati terbuka.

"Walaupun di tempat kerja ada juga individu yang tidak menjalankan tanggungjawab antaranya menjalani ujian calitan.

"Jadi, janganlah nak menuding jari kepada orang lain kalau diri sendiri pun tak bertanggungjawab untuk menjaga SOP," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mungkin kerana tindakannya mengumumkan dia positif virus itu di media sosial membuatkan ada pihak yang menganggap dia menjadi punca.

"Saya orang pertama yang kongsikan mengenainya selepas isu jangkitan di lokasi itu tular. Kemudian, barulah yang lain-lain kongsikan. Mungkin sebab itu orang nampak seperti saya orang pertama yang kena jangkitan dan membawa jangkitan kepada orang lain," katanya.

Menurutnya, dia juga perlu telus mengenai perkara itu walaupun pada awalnya pihak produksi menegahnya daripada berkongsi apa-apa maklumat.

"Mereka tak mahu saya umumkan kerana takut perkara ini jadi sesuatu yang sensitif dan tidak mahu ia menjadi isu besar. Saya beritahu mereka, kalau nak hantar saya ke pusat kuarantin, saya tak ada masalah untuk mengikut prosedur, tapi benarkan saya untuk keluarkan kenyataan rasmi kerana ia membabitkan banyak aspek. Penting untuk saya jadi telus di media sosial," katanya.

Kini, Sweet sudah bebas daripada jangkitan selama lebih 10 hari.

"Sekarang dah lebih 10 hari saya bebas Covid-19. Namun, virus itu masih ada dalam tubuh saya, cuma ia tidak aktif.

"Saya perlu berhati-hati kerana daripada apa yang diberitahu, sekiranya seorang individu yang pernah terkena jangkitan sekali lagi dijangkiti untuk kali kedua, ia akan jadi lebih teruk kerana antibodi akan jadi lebih lemah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:18 PM