MICHAEL Ang. FOTO arkib NSTP
MICHAEL Ang. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH, Michael Ang terbuka menerima teguran daripada warganet yang ingin menegurnya berkaitan soal menutup aurat.

Michael yang juga pengarah drama Sweet Dreams berkata, teguran yang diberikan biarlah dengan cara yang beradab dan tidak mengaibkan.

"Memang saya kerap menerima teguran daripada ramai orang. Kalau saya mahu kongsikan berapa jumlah mesej yang saya terima di Direct Message (DM) Instagram, memang banyak.

"Saya sentiasa terbuka menerima teguran daripada sesiapa saja. Namun, kalau mahu menegur pun biarlah kena dengan tempat. Bila cara teguran sampai menggunakan kata-kata kasar, itu bukan teguran yang baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Michael yang juga mualaf, orang sepertinya memerlukan bimbingan dengan cara yang sepatutnya dalam mendalami ilmu agama.

"Orang yang bersikap kasar dan kurang ajar beginilah yang membuatkan orang ramai terutamanya, orang bukan Islam berasa takut untuk mendekati orang agama.

"Kalau nak bercakap mengenai aurat lelaki, ramai yang lahir dalam Islam menunjukkan aurat mereka secara terbuka. Tapi, kerana saya mualaf, maka ramai menghakimi saya," katanya.

Terdahulu, Michael memuat naik contoh sikap kurang ajar seorang warganet dengan menyentuh mengenai isu aurat.

"Saya tidak kisah kalau dia nak tegur, tapi dia sendiri pun menipu. Katanya, dia tak ikut (follow) saya di Instagram, tapi bila saya buka profil, tertera yang dia adalah pengikut saya.

"Islam itu indah, tapi orang seperti inilah yang memburukkan nama Islam. Dia nak tegur kesalahan orang lain, tapi dia sendiri pun menipu," katanya.

Walaupun sering berdepan kecaman, ia tidak menggoyahkan imannya terhadap agama Islam yang dipilih.

"Walaupun sentiasa ada situasi begini berlaku kepada saya, saya tak pernah goyah dan tak pernah fikir keputusan untuk memeluk Islam adalah salah.

"Saya berkongsi perkara ini kerana saya nak buka mata semua orang supaya nampak dalam dunia ini, ada orang-orang sebegini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Michael kini sedang bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan selepas ini kembali ke lokasi penggambaran drama Chandelier lakonan Ben Amir dan Mimi Lana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 5:08 PM