Awie pada sidang media Rock n Dine sempena sambutan ulang tahun 36 tahun Wings yang akan berlangsung 26 Februari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Awie pada sidang media Rock n Dine sempena sambutan ulang tahun 36 tahun Wings yang akan berlangsung 26 Februari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi juga vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie menyarankan agar pemuzik generasi baharu terutamanya yang muncul secara berkumpulan atau band untuk mendaftar nama kumpulan mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Awie berkata, ia penting untuk memastikan tidak timbul sebarang isu berkaitan nama kumpulan sekiranya sesuatu berlaku pada masa akan datang.

"Kalau rasa sesuatu kumpulan itu ada nama yang bagus, daftarkan dengan MyIPO. Buat keputusan terbaik sama ada untuk daftarkan secara berkumpulan atau seorang individu sahaja yang pegang hak.

"Daftar nama kumpulan supaya nanti di kemudian hari, tidak akan diungkit atau berlaku sebarang perbalahan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Awie, sekiranya nama kumpulan itu didaftarkan mengikut prosedur yang sepatutnya, orang lain tidak akan boleh menggunakan nama itu sewenang-wenangnya.

"Katakanlah ada syarikat rakaman yang daftarkan, nama itu akan menjadi hakcipta syarikat. Kalau ada si polan yang memberikan nama kumpulan itu dan daftarkan, orang lain tak boleh 'claim'," katanya.

Diminta mengulas mengenai situasi kepincangan yang berlaku dalam industri berkaitan penggunaan nama kumpulan band, Awie menganggap orang yang tamak sahaja yang akan kecoh mengenai perkara itu.

"Orang tamak sahaja yang kecoh mengenai perkara ini. Kita tengok dari penampilan awal Alleycats, Carefree, Sweet Charity dan banyak lagi, tak ada pun nak berebut nak guna nama.

"Saya pernah keluar dari Wings, tapi tak pernah nak 'claim' apa-apa. Kenapa nak bergaduh sebab nama? Nama sendiri tak kuat ke? Kau tak ada populariti ke? 

"Kau nak guna nama itu, tapi janganlah sampai menghukum kawan sebab tak ada faedah. Kami pun ada anggota yang sudah keluar dan guna nama Wings, tapi kami tak bising pun," katanya.

Awie mewakili sahabatnya dalam Wings turut meluahkan kekecewaan atas situasi yang berlaku.

"Kami beranggapan mereka ini abang dan kami adik mereka. Memang kecewa bila sudah berusia begini, nak jadi tamak.

"Kami kecewa sebab benda begini sepatutnya tak boleh berlaku. Masing-masing nak cari makan dan Malaysia ini pun kecil," katanya.

Terdahulu, Awie dan kumpulan Wings ditemui di sidang media Wings Rock & Dine 36th Anniversary Celebration yang akan berlangsung pada 26 Februari 2022 di Taming Sari Grand Ballroom, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 2:25 PM