SWEET Qismina akui mental tak cukup kuat, sedih dan menangis apabila dapat tahu dijangkiti Covid-19.
SWEET Qismina akui mental tak cukup kuat, sedih dan menangis apabila dapat tahu dijangkiti Covid-19.
Syafil Syazwan Jefri


"KALAU difikirkan semula, ia adalah pengalaman yang luar biasa."

Demikian kata pelakon, Sweet Qismina ketika membuka sesi temu bual. Sweet sebelum ini berdepan dugaan besar apabila disahkan positif Covid-19, sekali gus dihantar ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) Ipoh, untuk menjalani rawatan.

Walaupun fasa jangkitan Covid-19 yang merebak dalam tubuhnya bukan sangat berbahaya, namun tetap memberi impak kepada kekuatan mentalnya.

"Siapa yang mahu dijangkiti penyakit ini. Saya pun tak minta, tapi Allah berikan dugaan ini kepada saya dan saya lalui sendiri proses rawatannya.

"Sejujurnya, pada peringkat awal, mental saya tak cukup kuat kerana saya tak bersedia. Rasa nak 'down' pun ada. Saya bersedih dan menangis," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya itu, Sweet berkata, dia pada mulanya hanya demam biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda awal dijangkiti Covid-19.

"Seperti yang semua sedia maklum, saya dijangkiti ketika sedang menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar. Jadi, semasa penggambaran ada kalanya kita berjemur di tengah panas dan ada ketika pula, hujan.

"Secara tak langsung, sistem imuniti badan saya juga menurun. Pada awalnya, saya demam selama tiga hari. Tapi, saya rasa itu cuma demam biasa dan tak ada apa-apa masalah.

"Masuk hari keempat, saya mula sesak nafas ketika tidur. Memang rasa sangat tak selesa sebab rasa macam nak termuntah dan rasa seperti angin dalam badan," katanya.

Saat ditahan di PKRC, Sweet tidak bersendirian kerana ibunya yang menemani di set penggambaran dan berkongsi bilik dengannya juga turut disahkan positif.

"Ibu saya pun positif. Jadi, kami sama-sama dimasukkan ke PKRC pada ketika itu. Sebenarnya, banyak aktiviti di PKRC. Antaranya, zumba.

SWEET bersama petugas kesihatan dan pesakit Covid-19 di PKRC Ipoh.
SWEET bersama petugas kesihatan dan pesakit Covid-19 di PKRC Ipoh.

"Di sana, saya nampak ramai pesakit daripada pelbagai kaum. Ada macam-macam permainan juga yang mengisi aktiviti harian pesakit untuk memastikan kami semua tidak tertekan," katanya.

Kini, dia sudah bebas daripada Covid-19. Namun, Sweet sedar bahawa virus itu akan terus kekal ada di dalam tubuhnya.

"Virus ini memang akan ada dalam tubuh saya sebab saya pernah dijangkiti.

"Cuma, ia tidak aktif dan saya perlu berjaga-jaga sebab kalau sekali lagi saya diserang Covid-19, risikonya lebih tinggi kerana sistem imuniti badan saya mungkin tidak sekuat sebelum ini," katanya.

Tanggapan sinis masyarakat

Selain diduga dengan penyakit itu, Sweet juga berkongsi mengenai persepsi masyarakat terhadap pesakit Covid-19 walaupun selepas disahkan sembuh.

"Ada juga beberapa individu yang bagi saya kurang sensitif mengenai perkara ini. Mereka seperti memandang sinis terhadap pesakit dan bekas pesakit Covid-19.

"Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk jelaskan mengenai pengalaman dan bagaimana proses penyembuhan saya untuk membuatkan mereka faham.

"Namun, satu kebaikan yang saya rasa bermanfaat buat saya adalah boleh bertegas untuk tak bersalaman atau pastikan menjaga jarak fizikal lebih-lebih lagi selepas orang tahu saya adalah bekas pesakit," katanya.

Terbaharu, Sweet kini bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia di samping beberapa artis lain antaranya Zynakal, Janna Nick, Kucaimars dan juga kekasihnya, Adam Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:00 AM