SITI dijangka bersalin awal Ramadan ini.
SITI dijangka bersalin awal Ramadan ini.
Sudirman Mohd Tahir


Tanggal 1 April lalu genap 25 tahun pembabitan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri muzik tanah air.

Bagi meraikan Jubli Siti 25, pelbagai aktiviti sudah dirancang khas buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan dan kasih sayang terhadap diri dan kerjaya seninya.

Pelancaran Edisi Emas Istimewa Jubli Siti 25 satu daripada aktiviti berkenaan sebelum Siti, 42, berehat untuk melahirkan anak dan berpantang.

Siti berkata, menerusi edisi yang menyaksikan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu, dia mahu berkongsi rezeki dan manfaatkan sambutan 25 tahun dengan membuka peluang orang ramai menjana pendapatan bersama.

"Edisi Emas Istimewa Jubli Siti 25 ini adalah sesuatu yang istimewa mengiringi ulang tahun seni saya ke-25. Saya ingin berkongsi rezeki dan memanfaatkan sambutan ini dengan membuka peluang menjana pendapatan kepada ejen, peminat dan sesiapa saja yang mahu menyertai kami.

"Kerjasama bagi menghasilkan edisi ini adalah amat dekat di hati saya. Justeru, saya ingin mengajak lebih ramai pihak untuk mula berjinak-jinak dalam aspek simpanan dan pelaburan emas, terutama golongan remaja dan anak muda.

"YaPEIM Gold juga menawarkan platform pembelian emas yang selamat, diyakini, mudah dan telus. Bagi edisi ini, saya juga terpanggil untuk membantu orang ramai bagi menjana pendapatan sampingan tanpa modal dengan mendaftar sebagai 'dropshipper' eksklusif bagi edisi keluaran khas ini," katanya.

Pengumpul atau peminat wafer emas edisi Jubli Siti 25 ini boleh mendapatkan edisi Khas ini melalui platform digital YaPEIM (DiYa), Aplikasi AVANA, YaPEIMall, Outlet YaPEIM Gold di Nu Sentral Kuala Lumpur, YaPEIM Gold Akses di Bandar Tun Razak dan di semua 212 cawangan Ar Rahnu YaPEIM seluruh Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi bagi pihak YaPEIM Gold atas kepercayaan ini dan pasukan saya CTDK, Simplysiti dan Siti Nurhaliza Productions yang turut serta merealisasikan kerjasama ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti yang dijangka bersalin awal Ramadan ini memohon doa orang ramai agar segala urusan dipermudahkan Allah SWT.

Malah, segala aktiviti membabitkan sambutan Jubli Siti 25 akan diteruskan selepas tamat tempoh berpantang.

"Insya-Allah, segala aktiviti seni akan diteruskan selepas tamat tempoh berpantang nanti. Macam pengalaman lepas iaitu selepas melahirkan Aafiyah, alhamdulillah saya dapat kembali aktif selepas berpantang.

"Insya-Allah, untuk kali ini pun harapnya begitu. Ada banyak perancangan yang sudah diatur untuk peminat. Ketika itu rasa lapang dan selesa sikit. Kalau semuanya buat dalam keadaan saya sarat ini, semput pula.

"Dalam erti kata lain, sambutan Jubli Siti 25 secara rasmi bermula selepas saya kembali aktif. Pihak pengurusan sudah merancang gerak kerja dan juga apa yang bakal saya lakukan kerana Jubli Siti 25 adalah satu kenangan manis saya bersama-sama peminat. Saya tidak dapat melakukan lebih awal kerana sarat hamil," katanya.

Selain itu, album lagu kanak-kanak Legasi yang turut memuatkan satu lagu khas buat anak lelaki yang bakal dilahirkan nanti berjudul Anakanda sudah berada di pasaran sejak 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:44 AM