SALWA menunjukkan produk kurus Selimelim keluaran syarikat beliau.
SALWA menunjukkan produk kurus Selimelim keluaran syarikat beliau.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Chantiq Manees Trading melengkapkan barisan produknya melalui pengenalan Selimelim yang dimasukkan ke dalam pakej selepas berpantang dengan sasaran jualan sebanyak 5,000 kotak sebulan bagi tahun ini.

Pengarah Urusannya, Salwa Mohd Saad berkata, sejak 2008 syarikatnya banyak mengeluarkan produk jamu dan kesihatan termasuk set bersalin di bawah jenama ChantiqManees.

Katanya, sejak kebelakangan ini pihaknya lebih memberi tumpuan kepada segmen pembuatan peralatan asal (OEM) bagi produk wanita berpantang.

“Selimelim dihasilkan atas permintaan pelanggan terutama wanita selepas bersalin yang agak sukar untuk menurunkan semula berat badan mereka dan produk ini bukan saja boleh dimakan oleh wanita yang sudah berkahwin, malah mereka yang mengalami masalah kegemukan semuda dari 12 tahun.

“Produk ini didatangkan dalam bentuk tablet boleh dikunyah dan percuma sabun ‘firming soap’ yang bertindak memecahkan lemak dan membuang angin dalam badan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Selimelim dijual di lebih 50 pengedar di seluruh negara dan pihaknya membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menjana pendapatan dengan menjadi pengedar pada modal permulaan hanya RM200.

Salwa berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk mempunyai wakil stokis di setiap negeri yang mana setakat ini hanya terdapat di Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin produk Selimelim ini akan mendapat sambutan kerana rata-rata testimoni yang diterima memberi maklum balas positif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:50 AM