AINA ABDUL
AINA ABDUL
Najiy Jefri


PENYANYI Aina Abdul mengakui rasa terbeban apabila ada pihak cuba membandingkan kemampuan vokalnya dengan seorang lagi finalis wanita di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) iaitu Ernie Zakri.

Aina berkata, dia menyedari perkara itu ketika membaca komen netizen di media sosial dan YouTube.

“Saya akui memang ada pihak sudah mula membanding-bandingkan saya dan Ernie. Sebenarnya komen sedemikian memberi tekanan untuk diri saya. Bagaimanapun saya hanya mahukan pertandingan yang sihat.

“Bagi saya, tiada istilah berjuang dengan sesiapa tetapi saya nak berlawan dengan diri sendiri dengan memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Menurut Aina, setiap finalis AJL34 mempunyai kemampuan vokal tersendiri dan sukar untuk menilai kehebatan vokal masing-masing.

“Setiap finalis mempunyai keunikan dan kehebatan tersendiri hingga mereka dipilih sebagai finalis. Terpilih sebagai salah seorang daripada dua finalis wanita di AJL34 kali ini pun saya rasa tak terjangkau. Ibarat masih bermimpi,” katanya.

Lagu Sumpah nyanyian Aina dan Ku Bersuara (Ernie Zakri) antara lagu yang disifatkan netizen mempunyai potensi untuk meraih juara Vokal Terbaik AJL34.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:10 PM