Saksi perbicaraan kes 1MDB, Joanna Yu. FOTO Bernama.
Saksi perbicaraan kes 1MDB, Joanna Yu. FOTO Bernama.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping mengakui mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low.

Joanna, 51, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Jho Low sering menjemputnya menghadiri mesyuarat di apartmen ahli perniagaan itu di Jalan Kia Peng yang turut disertai rakan perniagaan rapatnya.

Saksi ke-41 pendakwaan itu yang disoal balas peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau diperkenal kepada Jho Low oleh Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu, Chan Wan Seong di pejabat ahli perniagaan terbabit di Menara Berkembar Petronas pada 2007.

Jelasnya, beliau pertama kali berurusan dengan Jho Low pada tahun sama dalam urusan membabitkan pinjaman oleh syarikat pegangan pelaburan, Majestic Masterpiece Sdn Bhd.

Kata Joanna, mereka juga mengadakan pertemuan selepas waktu pejabat yang dihadiri pegawai lain.

Muhammad Shafee: Kamu ada hubungan dengan Jho Low, maksud saya, sebagai pegawai bank dan rakan?

Joanna: Ya.

Muhammad Shafee: Saya tidak mencadangkan kamu mempunyai hubungan yang tidak wajar dengan Jho Low, tetapi kamu ada hubungan rapat dengannya?

Joanna: Ya.

Mengenai mesyuarat berhubung urusan pinjaman Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) daripada Ambank, saksi itu berkata, dalam mesyuarat berkenaan Jho Low menggambarkan dirinya sebagai penasihat kepada Lembaga Penasihat TIA.

"Jho Low beritahu, ia adalah syarikat pelaburan negeri yang diwujudkan untuk membangunkan Terengganu dan menyasarkan untuk mengumpul dan RM10 bilion bagi tujuan itu," katanya.

TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.

Syarikat itu dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadan, dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

Sementara itu, Joanna berkata, Jho Low sering menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan surat jaminan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman bagi pihak TIA dan memberitahu bank, TIA ialah syarikat dana berdaulat yang 'diilhamkan' Sultan Mizan.

Joanna memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 6:38 PM